BAU: Sape berupaya menyatukan semua lapisan masyarakat serta boleh dimainkan oleh semua orang tanpa mengira bangsa dan kepercayaan.
Menerusi penganjuran Kem Sape 2023 anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS), ia memelihara budaya tersebut agar dapat diwarisi generasi akan datang selain mengukuhkan lagi perpaduan.
Eksekutif Komunikasi YPS, Ringkai Jewel berkata, kem berkenaan menghimpunkan 15 peserta muda dari seluruh Malaysia untuk mempelajari sape serta proses pembuatan alat muzik tradisional itu.
Jelasnya, peserta terdiri daripada warga tempatan iaitu Orang Asli, India dan Melayu dari Semenanjung Malaysia, Kadazan Dusun dan Rungus dari Sabah serta peserta dari negeri ini yang terdiri daripada kaum Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Kenyah, Kayan, Punan, Melayu dan Cina.
“Program ini khusus untuk peserta mempelajari cara bermain sape.
“Selain itu, terdapat sesi perkongsian daripada pemain sape legenda, Matthew Ngau Jau yang juga merupakan pemilik Lan E Tuyang Homestay mengenai pengalamannya bermain alat muzik sape,” katanya semasa menghadiri Kem Sape 2023 di Lan E Tuyang Homestay, di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, konsert perpaduan turut disertai peserta.
Jelasnya, konsert tersebut berlangsung di Panggung Udara Tebingan Kuching dari jam 7.30 hingga 9.30 malam semalam terbuka kepada orang awam.
Pada masa sama, katanya, majlis penutupan dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi YPS Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Auditorium, Muzium Budaya Borneo.
Tambahnya, program sedemikian akan diadakan tahun depan dengan menyasarkan lebih ramai peserta.
Peserta akan dilantik sebagai Duta YPS Sape kerana mereka merupakan kumpulan pertama program tersebut.
“Sasaran peserta kami kebanyakan pelajar dan belia berumur 18 hingga 30 tahun.
Niat kami sebenarnya untuk menjadikan sape sebagai alat yang menyatukan kaum yang berbeza kerana sape sudah terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya.