SAR disambung: Bomba redah cuaca buruk

SARIKEI: Operasi SAR seorang rakyat Indonesia yang hilang selepas sampan dinaikinya karam di Muara Payang semalam, disambung hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, keadaan cuaca buruk tidak melemahkan semangat pasukannya untuk meneruskan operasi berkenaan.

Katanya, operasi yang bermula pada jam 6.45 pagi tadi meliputi jarak kira-kira dua kilometer radius pencarian.

“Setakat ini, hujan lebat melanda Sarikei namun operasi masih diteruskan seperti biasa. Kita berharap menemui petunjuk positif hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Rian, seorang warga Indonesia yang berkerja sebagai juruelektrik di Sibu.

Sementara dua lagi warga tempatan, Romiton Anthony, 27, dan pemilik bot, Bahtiar Janggu, 25, terselamat dalam kejadian kira-kira jam 5.00 petang semalam.

Menurut laporan Polis, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan menghala ke Muara Payang dari Sarikei namun, selepas setengah jam perjalanan, sampan yang dinaiki mereka karam akibat ombak kapal.

Romiton dan Bahtiar dilaporkan sempat bertaut pada tangki minyak manakala Rian hilang. Kedua-duanya diselamatkan oleh nelayan yang melalui kawasan itu setelah ternampak bot mereka karam.

Suara Sarawak