Sarang lebah sebesar tong sampah

SRI AMAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman memusnahkan 17 sarang lebah pelbagai saiz sepanjang tahun ini demi keselamatan orang ramai.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim memberitahu, tugas memusnahkan sarang serangga berbisa itu tidak semuanya mudah.

“Ada ketika benar-benar menguji kemahiran tinggi anggota.

“Bagaimanapun, sehingga kini semua kes yang dikendalikan dapat diselesaikan. Kami mempunyai anggota terlatih.

“Dengan selesainya kes memusnahkan sarang lebah sebesar tong sampah di sebuah sekolah dalam Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Temudok Khamis lalu, maka APM Daerah Sri Aman berjaya memusnahkan sarang yang ke-17 tahun ini,” katanya ketika ditanya lanjut selepas operasi.

Sementara itu, salah seorang anggota Muhammad Zulkarnie Dawi memaklumkan, sarang lebah paling kecil pernah dimusnahkan sebesar bola tenis.

“Manakala, paling besar bersaiz tong sampah hitam.

“Antara kes paling sukar dan menguji ketahanan ialah ketika memusnahkan sarang lebah di menara pemancar telekomunikasi di Kem PGA Temudok.

“Ketika itu, pihak kita terpaksa memanjat setinggi 30 kaki kerana ia terletak di atas menara itu.

“Lebih mencabar, tindakan memusnahkan sarang lebah lazimnya dilakukan pada waktu malam,” ujarnya.

Menambah lanjut, Zulkarnie menjelaskan, dalam apa-apa jua kes, aspek keselamatan akan diberikan perhatian utama dalam apa jua situasi.

Orang ramai yang memerlukan khidmat bantuan APM dalam perkara tersebut boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman di talian 083-320973, 24 jam.

Suara Sarawak