Sarawak akan punyai penguatkuasa pantai sendiri untuk cegah nelayan haram

OYA (Mukah): Sarawak akan mempunyai unit penguatkuasa pantainya sendiri selepas meminda undang berkaitan aktiviti penangkapan ikan di sungai dan pesisiran pantai negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Diletakkan di bawah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Pejabat Ketua Menteri, unit penguatkuasa itu nanti akan berfungai menjaga perairan di sepanjang pantai negeri ini daripada dicerobohi nelayan luar.

“Dalam undang-undang itu kita mahu menguatkan lagi penguatkuasaan kita… regulatory enforcement. Mungkin kita akan terpaksa membekalkan mereka dengan bot atau kapal yang boleh meronda di kawasan pantai kita,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan penanaman tukun tiruan di atas sebuah tongkang di perairan pantai Igan di sini, hari ini, Abang Johari berkata, pihak Peguam Besar Negeri sedang meneliti perkara itu.

“Sekiranya kita tidak dapat bawa ke persidangan DUN pada November nanti, kita akan bawa ke persidangan pada bulan April tahun depan,” katanya.

Undang-undang yang sedia ada bagi mengawal aktiviti tersebut ialah Ordinan Perikanan Negeri (2003).

Menurut beliau, Perlembagaan Sarawak mempunyai hak ke atas perikanan di kawasan sungai dan perairan pantai negeri ini.

Dengan pindaan itu nanti Sarawak juga dapat menguruskan industri perikanannya dengan lebih baik dan teratur demi membela nasib para nelayan.

Mengenai tukun tiruan itu, Ketua Menteri berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM70 juta di bawah projek rakyat bagi penanaman 16,800 tukun tiruan dari perairan Tanjung Datu di Bahagian Kuching hinggalah ke perairan Lawas sepanjang kira-kira 1,000km bagi tempoh 2018-2021.

Semenjak 1998, sebanyak 7,500 tukun tiruan telah ditanam dan hasilnya kematian penyu akibat nelayan pukat tunda menurun 90 peratus (kurang 10 ekor setahun) berbanding 80-100 ekor setahun sebelum itu.

Tangkapan ikan oleh nelayan tradisional juga dilaporkan meningkat 300 peratus dengan adanya tukun tiruan itu yang membantu pembiakan hidupan marin.

“Tukun tiruan ini bukan saja menjadi rumah kepada ikan tetapi sebagai pertahanan terhadap aktiviti nelayan pukat tunda di kawasan perairan pantai Sarawak,” katanya.

Dalam ucapannya pada majlis perasmian pelancaran tukun tiruan itu di Pekan Sabtu sebelum itu, Abang Johari berkata Kerajaan Negeri akan mengumumkan bantuan kepada nelayan yang terjejas pendapatan ketika musim tengkujuh pada pembentangan belanjawan negeri November nanti. – Bernama