Sarawak akan terus bergerak maju

Bagi pihak rakyat sekalian, kola menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun (Abdul Taib Mahmud) dan Toh Puan (Ragad Kurdi) di atas keberangkatan bersama-sama rakyat sekalian untuk meraikan Hari Sarawak pada hari yang berbahagia ini, 22 Julai.

Tuan Yang Terutama Tun, inilah kali pertama perayaan Hari Sarawak diraikan di luar Kuching sejak mula dirayakan pada 2012.

Bintulu dipilih pada tahun ini memandangkan di bandar inilah pada 1867, Sarawak mulai membangunkan sistem perundangannya sendiri secara lebih teratur dengan Persidangan Majlis Negeri pertama yang diadakan pada 8 September 1867 ketika di bawah pemerintahan Brooke.

Ia juga merupakan suatu usaha untuk menyebar secara meluas pengertian dan signifikan Hari Sarawak kepada rakyat Sarawak supaya terus mampu berusaha memperkukuhkan jati diri sebagai anak Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebuah entiti politik dan ekonomi yang disegani dan dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Tun telah menyumbangkan jasa dan bakti kepada Kerajaan Sarawak sejak mula menganggotai kabinet pertama pada 1963 setelah Sarawak diberi kuasa pemerintahan sendiri mulai 1963.

Tun sendiri telah berkhidmat dengan cemerlang bukan sahaja untuk negeri Sarawak bahkan untuk seluruh Malaysia di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman hinggalah kepada Perdana Menteri sekarang.Terima kasih Tun atas sumbangan kepada Sarawak dan Malaysia.

Terima kasih juga kerana percaya kepada kami, generasi baharu Sarawak untuk membawa membawa pembangunan ke tahap tertinggi seiring usaha Sarawak untuk mencapai pendapatan tinggi dan negeri maju pada 2030.

Insya-Allah Tun. Kita akan membuat yang terbaik untuk masa hadapan Sarawak.

Menjadi generasi muda rakyat Sarawak, pastinya kita akan menyesuaikan dengan tuntutan baharu rakyat Sarawak, khususnya dalam era baru pembangunan ekonomi global.

Sebagai Gabenor, Tun adalah umpama payung yang besar dan di bawahnya bernaung rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama.

Rakyat dan kola berdoa agar Tun dan Toh Puan sentiasa sihat walafiat dan dipelihara oleh Allah SWT.

Kola memohon untuk berucap kepada hadirin sekalian.

Pihak British menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Sarawak pada 22 Julai 1963 dan dua bulan kemudian Gabenor British yang terakhir di Sarawak, Sir Alexander Wadell meninggalkan Sarawak pada 15 September dengan belayar dari Pengkalan Batu di Kuching menaiki kapal tentera laut British.

Antara mereka yang berada di Pengkalan Batu pada masa itu untuk mengucapkan selamat jalan kepada Waddell dan Lady Waddell ialah Allahyarham ayahanda saya, Datuk Abang Haji Openg yang dilantik sebagai Gabenor pertama Kerajaan Sarawak, Ketua Menteri Datuk Stephen Kalong Ningkan dan Menteri Hal Ehwal Sarawak, Temenggong Jugah Barieng dan ahli-ahli Kabinet pertama Sarawak

Bendera Union Jack telah diturunkan pada hari itu juga di seluruh Sarawak.

Tanggal 22 Julai

Sarawak amat bertuah apabila terlepas daripada belenggu penjajahan British secara aman pada 1963.

Selepas itu kita telah menjadi anggota dalam persekutuan negara baharu bernama Malaysia. Selepas itu, pemergian kuasa kolonial tidak bermakna, Kuala Lumpur adalah London yang lain.

Kita mentadbir negeri berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan syarat-syarat yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia.

Pengertian betapa pentingnya tanggal 22 Julai mula diberi penekanan pada 2012 semasa era Tun (Taib mahmud) sebagai Ketua Menteri dan kemudian diisytiharkan sebagai cuti umum di Sarawak pada 2016, oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Rakyat Sarawak mesti tahu bahawa setelah diberi kuasa untuk memerintah diri pada 22 Julai 1963 Sarawak bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dengan bergabung dengan tiga entiti lain, iaitu Malaya, Sabah dan Singapura dengan jaminan bahawa Sarawak ada keistimewaannya.

Oleh sebab itu, Sarawak diberi hak dan keistimewaan yang tidak diberi kepada negeri-negeri lain di Semenanjung.

Antara lain Sarawak mempunyai autonomi dari segi imigresen, tanah, hutan dan persempadanan negeri yang tidak boleh dimansuhkan atau diubah kecuali dipersetujui dalam Dewan Perundangan Sarawak iaitu Dewan Undangan Negeri.

Sarawak juga mempunyai hak ke atas sumber aslinya seperti minyak dan gas walaupun ada undang-undang Persekutuan yang cuba untuk menidakkan hak-hak ini.

Ordinan Minyak dan Perlombongan Sarawak 1958 (OMO) telah digubalkan dalam 1958 semasa pemerintahan British dan undang-undang ini tidak pernah pun dimansuhkan.

Sebelum Malaysia, kita sudah mempunyai undang-undang mengenai penerokaan sumber asli kita termasuk minyak.

Ordinan Minyak dan Perlombongan (OMO) telah digubal pada 1958 melindungi minyak di Sarawak dan undang- undang ini tidak pernah dimansuhkan.

OMO 1958, memberikan kuasa kepada Kerajaan Sarawak untuk mengawal minyak Sarawak, dan sumber gas. Ini adalah sebab Petros ditubuhkan.

Kuasa pengawalseliaan ke atas minyak dan gas Sarawak terletak pada Petros sebagai syarikat milik kerajaan.

Walaupun Petronas telah membawa kita ke mahkamah, mahkamah telah menolak untuk memberi kebenaran untuk mendengar kes itu.

Pembangunan Infrastruktur

Kuasa Sarawak seperti OMO 1958 ini memberi laluan bagi Sarawak untuk menambahkan pendapatannya.

Kita mengenakan Cukai Jualan 5% ke atas pengeksportan minyak dan produk gas mulai tahun ini yang dijangka mampu menjana hasil kira-kira RM3 bilion kepada Kerajaan Sarawak.

Di samping itu, Sarawak mempunyai ekuiti dalam LNG berjumlah 25% kesemuanya yang memberi pendapatan tambahan kepada negeri ini.

Dengan hak dan keistimewaan yang ada Sarawak boleh memberi keutamaan kepada kehendak rakyat Sarawak dalam usaha pembangunannya.

Tahun ini Sarawak dengan bajet RM11 bilion, yang terbesar dalam sejarahnya, mampu membina lebih banyak kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan untuk keselesaan rakyat dan mempertingkatkan connectivity fizikal dan bukan-fizikalnya.

Ini terbukti kerana pada petang ini (Isnin), saya akan merasmikan pelancaran pembinaan jambatan Kuala Kemena yang berharga RM250 juta untuk menghubungkan pusat komersial Bintulu dengan kawasan Jepak dan Lapangan Terbang Bintulu.

Dengan adanya jambatan ini, kawasan Jepak dan sekitarnya akan dibuka untuk pembangunan komersil, perumahan dan pusat baharu bagi Bintulu.

Jaringan infrastruktur akan bertambah lebih mantap dengan adanya beberapa jambatan yang akan dibina oleh Kerajaan Sarawak sendiri.

Selepas ini kita akan melancarkan pembinaan jambatan Muara Lassa, Jambatan Krian, Jambatan Saribas dan Jambatan Rambungan. Jambatan Long Lama sudahpun siap dan Jambatan Marudi sudah dimulakan pelaksanaannya.

Walaupun ada pihak mengatakan Sarawak akan bankrap dalam masa tiga tahun, Sarawak boleh menguruskan ekonominya sendiri

dengan baik. Ini terbukti dengan rizab yang cukup mantap dan dengan adanya sumber hasil yang baharu kepada Sarawak, kerajaan tidak perlu menggunakan rizab ini untuk menyediakan kemudahan infrastruktur and utiliti untuk rakyat.

Selama 17 tahun berturut-turut pengurusan kewangan Sarawak menerima clean bill of health daripada Ketua Audit Negara dan credit rating yang memberangsangkan oleh agensi penarafan kredit antarabangsa Moody’s dan Standard & Poor’s.

Selain itu, baru-baru ini Ketua Audit Negara telah memberi pengiktirafan cemerlang kepada 24 agensi negeri dari segi prestasi pengurusan kewangannya.

Sarawak juga mempunyai sumber kewangan alternatif, iaitu melalui Bank Pembangunan Sarawak atau DBOS yang membiayai projek bekalan air, bekalan elektrik, Recoda, Coastal Road, Second Trunk Road dan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Prestasi pelaburan asing dan tempatan Sarawak adalah antara yang menduduki tempat teratas dalam kalangan negeri-negeri.

Di Bintulu ini sahaja, khususnya di Samalaju, Sarawak telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM 13.76 bilion yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 11,000 orang, dan keseluruhan nilai pelaburan bagi Sarawak dari tahun 2016 hingga 2018 ialah RM23.7 bilion.

Pada bulan September, pembinaan loji methanol pertama milik Sarawak akan dilancarkan di Tanjong Kidurong. Sudah pasti projek ini akan terus memacu ekonomi tempatan di Bintulu ini dan memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak Sarawak.

Ekonomi Digital

Ekonomi Sarawak hendaklah dibangunkan mengikut peredaran dan trend semasa. Setelah mengambil alih pucuk pimpinan Kerajaan Sarawak saya telah membuat perubahan ke arah mentransformasikan ekonomi Sarawak kepada sebuah ekonomi digital seiring dengan trend global.

Jika kita tidak mengorak langkah ke arah pendigitalan ekonomi Sarawak sekarang, kita akan ketinggalan.

Pelbagai inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan untuk mempastikan Sarawak mampu beralih ke ekonomi yang dipacu oleh teknologi digital daripada bidang pertanian, ke perniagaan, perindustrian, pelancongan, perkhidmatan kerajaan dan sebagainya.

Baru kelmarin saya melancarkan Sarawak Pay di Sebauh supaya rakyat di luar bandar juga boleh diperkenalkan kepada kaedah pembayaran dan pemindahan wang secara digital di mana sahaja mereka berada.

Setakat ini Sarawak Pay ada 100,000 pengguna dan 6,000 peniaga berdaftar dengan nilai transaksi lebih RM60 juta.

Dalam pada Sarawak berbelanja besar untuk melonjakkan pembangunan infrastruktur, kita hendaklah terus memastikan kedudukan kewangan kita sentiasa kukuh.

Kita juga hendaklah memastikan ekonomi kita mampu menarik minat para pelabur di samping menggalakkan aktiviti penjanaan ekonomi domestik kita.

Dengan perbelanjaan umum yang besar dan berhemah dalam tempoh dua tahun ini untuk pembangunan infrastruktur, Sarawak yakin dapat merangsang pertumbuhan ekonominya antara 5% dan 6% untuk membolehkan Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

Sarawak Bersatu Padu

Saya dan rakan-rakan GPS dalam Kerajaan Sarawak tidak mampu membangunkan Sarawak tanpa sokongan rakyat Sarawak sendiri.

Lebih 50 tahun kita telah mengharapkan orang lain membantu kita supaya Sarawak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri yang sudah maju.

Yakinlah wahai anak Sarawak bahawa kita boleh berdiri atas kaki sendiri untuk menentukan hala tuju pembangunan Sarawak.

Ada anasir-anasir luar sedang cuba dengan sedaya upaya melemahkan perpaduan kita ini.

Segelintir kita sudah mula lupa akan perjuangan kita bersama untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dan rela dikuasai oleh orang lain untuk kepentingan masing-masing.

Namun, sempena dengan Perayaan Hari Sarawak pada tahun ini, saya dan rakan-rakan berdoa dan mengajak seluruh rakyat Sarawak berdoa agar Bumi Kenyalang ini selamat daripada penguasaan pihak luar dan sentiasa dipelihara oleh Allah SWT.

Terima kasih kepada seluruh hadirin sekalian yang datang beramai-ramai dari kawasan sekitar Bintulu dan tempat-tempat lain untuk turut serta dalam majlis yang amat bermakna ini.

Saya bagi pihak rakyat sekalian, sekali lagi menjunjung kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun (Taib Mahmud) dan Toh Puan (Ragad Kurdi) yang sudi meluang masa untuk menyerikan lagi sambutan perayaan Hari Sarawak 2019 di Bintulu ini.

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

• Teks ucapan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sempena sambutan Perayaan Hari Sarawak 2019 bertempat di Jalan Lapangan Terbang Lama Bintulu