ARTIKEL

Sarawak aktif bangun pelancongan teknologi hijau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Inisiatif Sarawak membangunkan teknologi hijau bakal memberi manfaat terhadap keselamatan tenaga, makanan dan alam sekitar. Sarawak merupakan wilayah paling aktif dalam aktiviti pembangunan teknologi hijau.

Itu kata Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Takahashi Katsuhiko ketika melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semalam.

Beliau berharap Sarawak akan menjadi pusat perkembangan aktiviti itu dengan menggunakan teknologi Jepun. Malah ujarnya, projek penting itu tidak mungkin berjaya tanpa sokongan Premier Sarawak.

Kunjungan tersebut bertujuan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas sokongan yang diberikan sempena pembukaan Chitoce Carbon Capture Central.

Mengulas lanjut, Takahashi berkata, sehingga kini terdapat 30 syarikat Jepun beroperasi di negeri ini termasuk Chitoce Carbon Capture Central yang merupakan sebuah projek kerjasama antara Jepun dan Sarawak.

Dalam perkembangan lain kunjungan hormat itu turut membincangkan perkara berkaitan gas asli cecair (LNG) dan berharap jalinan kerjasama ini diteruskan kerana Jepun merupakan antara negara yang mengimport LNG dari Sarawak.

“Saya juga berharap lawatan kali ini juga mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara Jepun dengan Sarawak terutamanya dalam bidang perniagaan,” katanya.

Terdahulu, Takahashi dan rombong diberi taklimat berkaitan penubuhan Petronas dalam lawatan pertama Kompleks LNG Petronas di Tanjung Kidurong, Bintulu sebelum dibawa meninjau persekitaran loji itu.

Ketika ditemui media, Duta Jepun ke Malaysia itu berharap kerjasama antara Jepun dan Malaysia termasuk Petronas berkekalan demi kemakmuran ekonomi bersama.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti dan Petronas sepanjang kami berada di sini,” katanya.

Selesai lawatan di Kompleks LNG Petronas, Takahashi dan rombongan dibawa melawat ke Pantai Tanjong Batu sebelum bertolak ke Kuching.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU