Sarawak akur dengan penangguhan ibadah haji

KUCHING: Sarawak akur dengan keputusan Kerajaan Persekutuan mengenai penangguhan ibadah haji ke tahun hadapan. Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, mereka berharap agar jemaah yang terpilih tahun ini dapat bersabar.

“Kita juga berharap urusan mereka dipermudahkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada masa akan datang,” katanya kepada Suara Sarawak, kelmarin.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan bahawa ibadah haji untuk semua umat Islam Malaysia bagi tahun 1441 Hijrah (2020) akan ditangguhkan ke tahun hadapan.

Menurutnya, perkara itu juga mendapat perke-nan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan di-sampaikan kepada Kerajaan Arab Saudi. Dalam hal berkaitan, Dr Abdul Rahman memberitahu Majlis Islam Sarawak (MIS) mengeluarkan garis panduan untuk menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, antara SOP yang perlu dipatuhi di bawah garis panduan ini ialah Jawatankuasa Pengurusan masjid hendaklah menetapkan penjarakan sosial, mendaftar jemaah, menyediakan cecair pencuci tangan, memastikan jemaah menggunakan pelitup muka dan menetapkan tempat untuk jemaah bersembahyang.

“Selain itu, bilangan jemaah bergantung kepada kapasiti masjid. Khutbah dan doa semasa solat Jumaat dipendekkan selain jemaah tidak dibenarkan berkumpul semasa atau selepas sembahyang,” jelasnya.

Suara Sarawak