ARTIKEL

Abang Johari (tengah) melihat pameran sempena pelancaran pembukaan syarikat kejuruteraan mikroelektronik global, Melexis, di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di Kuching, hari ini. - Foto: Mohd Alif Noni

Sarawak alu-alukan industri berimpak tinggi yang dapat digerakkan oleh pelbagai sumber tenaga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia menerima, mempelbagaikan dan mengembangkan industri berimpak tinggi di Sarawak, memandangkan kekuatan wilayah ini adalah dalam penjanaan tenaga.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini Sarawak telah menetapkan sasaran untuk menghasilkan 10 gigawatt (GW) tenaga melalui sumber aslinya yang banyak menjelang tahun 2030.

“Pada masa ini, kami mempunyai kapasiti sedia ada sekitar 5,700 megawatt (MW), dan dalam tempoh tiga tahun ini, kami mahu menaik taraf kepada 10GW.

“Saya bersama anggota Kabinet akan turun padang untuk meneroka pelbagai teknologi yang boleh menjana tenaga boleh diperbaharui sebagai kekuatan untuk kami menyediakan tenaga yang diperlukan dalam semua aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran pembukaan syarikat kejuruteraan mikroelektronik global, Melexis, di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata Sarawak kini sedang melaksanakan pemasangan panel solar terapung di Empangan Batang Ai yang mampu menghasilkan tenaga tambahan 50MW, meskipun hanya menggunakan dua peratus daripada keluasan permukaan air di empangan tersebut.

“Sekiranya kami dapat memasang panel solar terapung menggunakan 60 peratus daripada keluasan permukaan empangan, kami boleh menghasilkan sekitar 2,000MW tenaga dan ini boleh disalurkan kepada industri di Sama Jaya,” katanya.

Bercakap tentang Melexis, Abang Johari berkata kerjasama syarikat itu dengan Sarawak Semiconductor Design (SMD) dan X-FAB akan mewujudkan ekosistem dalam rangkaian peranti berteknologi tinggi.

Menurutnya, pada 2022, Sarawak mengambil satu langkah penting apabila ia bekerjasama dengan Melexis melalui kerjasama dengan SMD, dengan harapan dapat melahirkan tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dan menyelaraskan diri dengan kemajuan moden dalam teknologi cip.

“Dengan pembangunan kecerdasan buatan (AI), AI interaktif dan AI generatif, ini semua bergantung pada cara cip itu direka bentuk dan dihasilkan.

“Dalam hal ini, adalah menjadi hasrat Kerajaan Sarawak untuk bekerjasama, dan apa jua kekuatan yang kami ada, kami akan berkongsi dengan anda (Melexis) dan apa sahaja kekuatan yang anda ada, anda kongsi dengan kami,” katanya.

Kemudahan Melexis baharu di sini menandakan komitmen syarikat itu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi semikonduktor dan mengukuhkan kehadirannya di rantau Asia Pasifik.

Pengembangannya di wilayah ini juga menandakan peristiwa penting dalam perjalanan 35 tahun syarikat itu untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk semikonduktor, yang dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh sedekad akan datang.

Turut hadir, Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, Duta Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker, serta Pengerusi Melexis, Francoise Chombar.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU