KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah program Citrawarna Malaysia yang kini dinamakan Citrawarna Keluarga Malaysia pada pertengahan Disember nanti.
Acara yang akan menjadi pembuka tirai 2022 sekali gus mengakhiri tahun 2021 itu bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara acara kemuncak pada program tersebut nanti adalah menghimpunkan seramai mungkin pemain alat muzik sape yang akan membuat persembahan secara serentak untuk disenaraikan dalam ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR).
“Kita juga merancang untuk menubuhkan pentas terapung di atas sungai Sarawak selain menjemput artis-artis terkenal di seluruh Malaysia bagi memeriahkan program,” katanya.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Penggiat Industri Pelancongan di bawah MOTAC di sini, malam ini.
“Secara peribadi, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah untuk Citrawarna Malaysia pada tahun ini adalah bertepatan kerana mempunyai pelbagai suku kaum dan etnik yang sesuai untuk diketengahkan kepada seluruh penduduk negara kita.
“Ia bakal diadakan di Tebingan Kuching dan harapan kita, acara ini sedikit sebanyak akan menceriakan warga Sarawak khasnya penggiat industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.
Penganjuran yang kali pertama di Sarawak itu bertujuan untuk menghidupkan kembali industri pelancogan di negeri ini namun tetap diadakan dalam pematuhan SOP yang ketat.
