KUCHING: Hari Orang Kurang Upaya (OKU) 2022 atau HOKU22 bakal berlangsung pada 27 Oktober ini di Hotel Pullman, dekat sini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sambutan tersebut akan menerapkan elemen keterangkuman, kebersamaan, kesyukuran dan kepelbagaian.
“Fokus utama HOKU22 untuk meningkatkan bakat OKU, akses kepada pendidikan, latihan, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, kesihatan dan pemulihan serta kecemerlangan arena sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena mesyuarat penyerahan bendera Sarawak kepada kontijen para Sukma Sarawak dan Sambutan HOKU22 di Wisma Kebajikan Kuching, hari ini.
Tambahnya, sambutan tersebut akan diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isterinya Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
“Bertemakan ‘Sarawak Inklusif Untuk Semua’, antara pengisian adalah persembahan keupayaan dan potensi OKU dalam acara seni termasuk tarian pembukaan daripada Persatuan Budaya dan Seni Pekak Sarawak, persembahan piano dan banyak lagi.
“Mereka yang membuat persembahan juga mewakili pelbagai bangsa sekali gus menunjukkan sifat inklusif. Nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku akan disampaikan menggunakan bahasa isyarat,” ujarnya lagi.