
SIBU: Kerajaan Sarawak sedang merancang untuk membina bangunan Dewan Bandaraya Sibu yang bakal menjadi mercu tanda baharu selain sebagai destinasi pelancongan di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan kini sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membina bangunan berkenaan.
“Saya berharap agar Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting akan mencari reka bentuk pembinaan dewan tersebut yang akan dikelilingi pembangunan baharu di sini.

“Maka Sibu akan menjadi salah satu destinasi pelancongan di Sarawak pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Anjuran Majlis Perbandaran Sibu di sini, hari ini.
Pada masa sama kata Abang Johari, pelbagai lagi pembangunan sedang dijalankan di bahagian itu termasuk pembinaan jalan baharu melalui Batang Igan dan disambungkan ke jalan pesisir pantai sehingga ke Lebuhraya Pan Borneo.
Sibu katanya, bakal mempunyai penempatan baharu di sekitar Jalan Kemuyang sehingga jalan berhampiran Kampung Nangka sekali gus meluaskan penempatan perumahan serta pusat komersial di Sibu termasuk Batu Lima, berhampiran taman baharu di sini.
“Kami ingin mengubah taman itu menjadi kemudahan rekreasi tambahan untuk penduduk tempatan seperti Rizab Semula Jadi Piasau di Miri, dan kami ingin mempunyai satu lagi di Sibu untuk kegunaan masyarakat tempatan,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Kaunselor Clarence Ting Ing Horh dan ahli kenamaan lain.