KUCHING: Sarawak berhasrat untuk menghasilkan minimum 150,000 anak benih ikan tilapia Batang Ai setiap bulan bermula Oktober 2023 bagi meningkatkan ekonomi dan pengeluaran produk tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) merangkap Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ia merupakan satu daripada enam usaha sama antara PPNS dengan syarikat-syarikat terlibat.

“Ketika ini, kementerian sedang menjalankan perundingan bersama-sama pengedar di Jepun dan China untuk memasarkan ikan tilapia ke negara-negara berkenaan.
Justeru dengan adanya pemasaran yang lebih meluas, industri ikan tilapia Sarawak akan semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPNS KE-38 yang disempurnakan oleh Menteri MFICORD Datuk Seri Dr Stephen Rundi Atom di Hotel UCSI di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut kata Dr Abdul Rahman, bagi menghasilkan anak benih tilapia merupakan cabaran utama peternak-peternak tempatan susulan sukar untuk mencari cara untuk menghasilkan anak benih ikan tersebut.
“Alhamdulillah sekarang ini kita dapat menguasai cara-cara menghasilkan benih ikan tilapia dan kita dapat menghasilkannya bermula Oktober ini minimum 150,000 anak benih setiap bulan, manakala tahun hadapan kita akan pertingkatkan lagi jumlah itu.
“Malah kementerian juga melaksanakan projek perintis bertujuan memberikan perkhidmatan kepada penternak-penternak kecil ikan tilapia terpilih di Batang Ai dan kita akan bekalkan anak benih serta makanan ikan kepada mereka.
“Kita juga akan membeli balik hasil ikan tilapia peternak-peternak itu nanti,” katanya sambil menambah PPNS turut terlibat dalam pemasaran ikan berkenaan setelah syarikat sebelum ini mengalami masalah untuk memasarkannya.
Menurut beliau, PNNS memulakan perniagaan memproses ikan dengan kerjasama sebuah syarikat yang mempunyai sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) bagi menembusi pasaran eksport.
Pada masa samaa katanya, ikan yang dihasilkan sebelum ini telah mendapat permintaan daripada syarikat pengedar di Singapura sejumlah 7.5 tan sebagai permulaan.
“Insya-Allah kapasiti ikan tilapia Batang Ai dalam lingkungan 1,000 tan sebulan dapat kita pasarkan kelak dan ketika ini, kita hanya dapat mengeluarkan antara 30 hingga 40 tan sahaja.
“Justeru dengan permintaan dari Singapura, China dan Jepun, sudah tentu kita akan meningkatkan penghasilan pengeluaran ikan ini bagi memenuhi permintaan pasaran,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau juga memaklumkan antara usaha sama lain dilaksanakan PPNS adalah penternakan udang di Loba-Stoh Rambungan, Kuching; penanaman ‘Sarawak Gold (SG1) Nenas di Miri; penternakan kerbau dan pengeluaran keju di Maragang, Lawas; pengurusan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Limbang dan Lawas serta penanaman bawang merah di Tarat.