ARTIKEL

Uggah (kiri) menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Sidang DUN Sarawak hari ini. - Foto: Mohd Alif Noni

Sarawak bakal laksana Sistem e-Perolehan digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak bakal memulakan pelaksanaan Sistem e-Perolehan secara digital bagi meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan ketelusan proses perolehan kerajaan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah, berkata pembangunan sistem itu terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu pembangunan modul pembelian terus (e-Direct Purchase) yang telah siap dan akan dilancarkan menjelang akhir tahun, e-Sebutharga (72 peratus siap), dan e-Tender yang dilaksanakan setelah selesai Peringkat Dua.

Katanya, inisiatif perolehan digital kerajaan bertujuan meningkatkan perolehan ke arah standard antarabangsa, dan pada masa sama memastikan ekosistem perolehan yang lancar dan inovatif di Sarawak.

“Kita juga komited untuk memajukan kecemerlangan perolehan melalui pelbagai inisiatif strategik.

“Antara lain, pewartaan Arahan Tatacara Kewangan (Pendaftaran Kontraktor dan Perunding), dan Perintah Fees (Pendaftaran Kontraktor dan Perunding),” katanya.

Uggah, yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, berkata demikian dalam sesi penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Bermula tahun ini, katanya, kementerian melaksanakan Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS) untuk meningkatkan penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek kerajaan melalui pembidaan kompetitif.

Program itu, jelasnya, bertujuan membina kumpulan kontraktor yang berkebolehan, cekap dan berdaya tahan, yang akhirnya akan berkembang dan mampu bersaing dalam pasaran terbuka.

“Di bawah program PKBS, hingga kini, seramai 350 peserta dipilih di seluruh Sarawak untuk menjalani program latihan selama 10 hari bagi memantapkan pengetahuan dan kecekapan mereka dalam aktiviti pembinaan dan perolehan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU