SELANGAU: Sarawak bakal mempunyai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang ke-39 tahun ini.
Ia susulan BBP Asajaya dijangka beroperasi tidak lama lagi bagi memantapkan perkhidmatan kebombaan di negeri ini.
Selain, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang memohon peruntukan semula bagi lima projek pembangunan infrastruktur kebombaan di seluruh Sarawak.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pengoperasian BBP Selangau menjadikan jumlah keseluruhan bomba di Sarawak sebanyak 38 buah.
“Tahun ini, dijangka sebuah lagi BBP siap dan bakal beroperasi di Asajaya.
“Bagaimanapun, saya akui bahawa jumlah balai sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan penugasan kebombaan di seluruh Sarawak yang mempunyai keluasan 124,450 kilometer persegi.

“Justeru JBPM dalam proses membuat permohonan semula peruntukan dalam Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi projek-projek pembangunan infrastruktur kebombaan di Sarawak,” katanya merasmikan BBP Selangau di sini, hari ini.