KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan memutuskan sama ada prosedur operasi standard (SOP) untuk pub dan kelab malam akan terpakai bagi negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata JPBN masih menunggu pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah untuk memanggil jawatankuasa itu bermesyuarat.
“Beliau (Uggah) baru balik dari luar negara dan kita akan mengadakan satu perjumpaan. Sarawak akan sentiasa melihat kepada dasar-dasar, adakah ia sesuai untuk Sarawak atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai Sop yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pembukaan pub dan kelab malam pada 14 Mei diguna di Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Sim menambah bahawa JPBN sentiasa menetapkan peraturan dan dasarnya sendiri.
“Tidak semua peraturan yang dari Semenanjung Malaysia sesuai untuk kita. Jadi adakah kita akan melakukan perkara yang sama juga?
“Kita mesti lihat pada masa yang sesuai. Datuk Amar baru sahaja tiba di Sarawak, beri masa. Pengumuman rasmi akan dihebahkan nanti,” kata Sim.
Terdahulu, antara Sop yang dikeluarkan ialah pelanggan mesti menjalani ujian kendiri RTK 24 jam sebelum mengunjungi tempat dengan penilaian oleh pengamal perubatan berlesen yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Pemilik juga boleh mengenakan ujian kendiri kepada pelanggan sebelum dibenarkan masuk, sekiranya merek belum melakukan ujian terlebih dahulu.
Pihak bertanggungjawab perlu memastikan keputusan ujian diperoleh dalam tempoh 24 jam dan negatif. Mana-mana individu yang tidak melakukan ujian Covid-19 dalam tempoh 24 jam tidak dibenarkan masuk.
