Sarawak bantu pelajar bayar baki tunggakan PTPTN

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membantu para pelajar Sarawak membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tertunggak sebagai pemberian insentif seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah mengadakan rundingan dengan PTPTN untuk menentukan kaedah pembayaran balik tunggakan tersebut.
“Sekarang ini baru sahaja selesai perbincangan antara Yayasan Sarawak dan PTPTN, sudah ada formula bagi kita membantu pelajar Sarawak menyelesaikan tunggakan dengan PTPTN di mana kita telah menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis ringkas penyerahan dua buah bas sumbangan Kerajaan Sarawak kepada Politeknik Mukah dan Politeknik Metro Betong di perkarangan Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Abang Johari semasa menyempurnakan penyerahan dua buah bas sumbangan Kerajaan Sarawak kepada Politeknik Mukah dan Politeknik Metro Betong di perkarangan Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata pemberian insentif tersebut akan membantu para pelajar menyelesaikan 30 peratus daripada baki hutang mereka dengan PTPTN yang melibatkan seramai 9634 pelajar.
Menyentuh mengenai bantuan lain kepada para pelajar Sarawak, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak telah membantu para pelajar Sarawak dari segi kos tambang balik ke negeri ini ketika musim perayaan bagi pelajar-pelajar yang menuntut di Semenanjung Malaysia.
Katanya Kerajaan Sarawak juga telah mengambil inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada para pelajar, khususnya di bandar raya Kuching untuk meringankan beban perbelanjaan ibu bapa.
“Perkhidmatan ini yang dikelolakan oleh Yayasan Sarawak akan dikembangkan ke bandar-bandar lain di Sarawak pada masa akan datang,” katanya.
Mengenai pendidikan pra-sekolah, Abang Johari berkata Tadika Sedidik yang sebelum ini di bawah kelolaan SEDC telah diambil alih oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak untuk memastikan pendidikan pra-sekolah di Sarawak lebih tersusun dan berstruktur.
Sementara, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan hampir RM600,000 untuk membeli dua buah bas tersebut dengan kapasiti 25 penumpang bagi kegunaan pelajar dan pelaksanaan aktiviti di kedua-dua politeknik tersebut.
Ini ekoran permohonan para pelajar yang dikemukakan semasa sesi Town Hall “Berambeh ngan Abang Jo” bersempena Karnival Today for Tomorrow (T4T) pada 6 Julai 2019 di Mukah dan 15 Disember 2019 di Betong.
Susulan itu, Abang Johari telah bersetuju menyumbangkan dua buah bas bagi kegunaan kedua-dua politeknik tersebut.