ARTIKEL

Abang Johari (depan, empat kiri) serta delegasi Kerajaan Sarawak merakam gambar kenangan sempena lawatan kerja dua hari ke Korea Selatan. - Foto Kredit: Pejabat Premier Sarawak

Sarawak bekal gas hidrogen, ammonia ke Korea Selatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: SEDC Energy Sdn. Bhd. bakal membekalkan gas hidrogen dan ammonia untuk Korea Selatan dalam menyokong usaha negara itu beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sekali gus mengeratkan serta memperkukuhkan jalinan kerjasama ekonomi antara Sarawak dan Korea Selatan.

“Syarikat-syarikat Korea akan bekerjasama dengan beberapa syarikat dari Sarawak, khususnya SEDC Energy dalam program transisi negara tersebut kepada sumber tenaga hijau.

“Anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) ini akan membekal gas hidrogen dan ammonia untuk digunakan di Korea, dalam peralihan negara tersebut daripada penggunaan arang batu kepada sumber boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan, yang merupakan sebahagian rangka kerja dua hari delegasi Kerajaan Sarawak ke Korea Selatan, semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Kerajaan Sarawak dan Korea Selatan turut mencapai kata sepakat untuk terus mengeratkan kerjasama khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

“Usaha ke arah itu telah dibincangkan dalam mesyuarat antara Korea Selatan melalui Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan dengan Sarawak pada sebelah pagi,” jelasnya.

Terdahulu Premier dan rombongan menghabiskan masa sekitar satu jam untuk meninjau keseluruhan fasiliti sektor tenaga boleh diperbaharui yang terletak di Pulau Yongheung, selatan kota raya Seoul.

Loji jana kuasa Yongheung adalah di bawah kelolaan syarikat Korea South East Power (KOEN) yang membekalkan 9.278 GW (9,278 MW) tenaga elektrik (6.7 peratus) kepada keperluan tenaga negara itu melalui lima lokasi penjanaan.

Kapasiti penjanaan tenaga keseluruhan Korea Selatan ialah 139,147 MW.

Delegasi Kerajaan Sarawak turut disertai oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain.

Abang Johari selepas mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan – Foto Kredit: Pejabat Premier Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU