ARTIKEL

Dr. Sim ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Pencahayaan Tugu Kuching Putih sempena Perayaan Gawai Dayak di Jalan Padungan, di sini, malam tadi. FOTO: ALIF NONI

Sarawak beli Affin Bank, MASwings dan bukan dapat percuma seperti tanggapan beberapa pihak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemerolehan pegangan saham Affin Bank dan pemilikan syarikat penerbangan MASwings adalah pembelian oleh Kerajaan Sarawak, bukan sebahagian daripada tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menegaskan, tanggapan beberapa pihak bahawa pemerolehan saham bank dan syarikat penerbangan itu antara tuntutan Sarawak di bawah MA63 adalah tidak benar sama sekali kerana ia merupakan pemilikan bagi tujuan komersial.

“Sesetengah orang di Semenanjung menganggap kita menuntut hak tetapi kita sebenarnya membayar dan membeli Affin Bank dan MASwings tersebut, ia adalah komersial.

“Malah sesiapa sahaja boleh membeli kedua-dua syarikat korporat itu sekiranya mempunyai wang. Negeri Sabah dan Selangor juga boleh membeli, begitu juga dengan negeri Johor. Kita tidak menghalang sesiapa yang mahu berbuat demikian,” katanya.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Pencahayaan Tugu Kuching Putih sempena Perayaan Gawai Dayak di Jalan Padungan, di sini, malam tadi.

Tambahnya, tujuan Kerajaan Sarawak berbuat demikian adalah untuk memacu pembangunan ekonomi negeri ini, di samping demi kesejahteraan rakyatnya.

“Sebelum ini kita hanya memohon untuk memiliki lesen syarikat penerbangan daripada Kerajaan Persekutuan, manakala pengambilalihan MASwings adalah dibayar menggunakan duit kerajaan negeri sendiri.

“Oleh itu, saya mahu masyarakat di Semenanjung memahami bahawa Sarawak membayar syarikat penerbangan itu. Anda boleh membayarnya jika anda mahu, bukan seolah-olah kami mendapatnya secara percuma,” tegasnya.

Ujarnya, antara lain tujuan memiliki syarikat penerbangan sendiri adalah untuk memboleh kerajaan negeri mengawal kadar tambang susulan sering berlaku kenaikan mendadak menjelang musim perayaan yang menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran untuk balik ke negeri ini.

Sementara dalam hal berlainan mengenai gelombang baharu COVID-19 yang menjejaskan negara jiran, Dr Sim memberitahu kerajaan sentiasa memantau rapi dan mengamalkan langkah berjaga-jaga.

“Walaupun Sarawak mempunyai penerbangan terus dari Singapura, tidak ada keperluan untuk mengambil langkah drastik buat masa ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

“Oleh kerana kita kini sudah hidup dengan virus, maka menjadi tanggungjawab semua orang untuk memastikan sentiasa menjaga keselamatan kesihatan sendiri.

“Sentiasa lakukan ujian kendiri dan sekiranya didapati positif, segera pergi ke klinik terdekat untuk mendapatkan Paxlovid bagi membantu mempercepatkan pemulihan,” tegasnya.

Mengenai rakyat Sarawak yang pulang dari Singapura, beliau menasihatkan mereka untuk melakukan ujian kendiri dan kuarantin diri jika positif jangkitan susulan negara itu dilaporkan mengalami gelombang baharu serta peningkatan kes positif.

BERITA LAIN

280 individu sertai Larian Amal Rakyat 2.0

KUCHING: Seramai 280 individu telah menyertai program Larian Amal Rakyat 2.0 yang berlangsung semalam. Program larian tersebut anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah

BERITA TERBARU