Sarawak benarkan solat Jumaat dengan 20 jemaah

KUCHING: Sarawak membenarkan solat Jumaat di masjid-masjid bermula 22 Mei ini bersamaan 29 Ramadan dengan jumlah maksimum 12 jemaah.

Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha berkata, pihaknya membenarkan perkara tersebut dengan syarat yang ditetapkan.

“Kehadiran sekurang-kurangnya empat atau tidak melebihi 12 jemaah dalam kalangan pegawai masjid imam, bilal dan marbot serta ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan surau.

“Solat Jumaat itu juga dikehendaki untuk mematuhi garis panduan pelaksanaan solat tersebut ketika PKPB yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Beliau menegaskan, keputusan itu bermakna mengekalkan gugur tuntutan wajib mengerjakan solat Jumaat dan wajib menunaikan solat fardhu zuhur di kediaman masing-masing sama ada secara berjemaah dalam kalangan isi rumah sahaja atau secara bersendirian sepanjang tempoh penangguhan ini.

“Kita mengambil keputusan itu atas nasihat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak untuk mengekalkan, mencadangkan dan untuk mengadakan solat Jumaat bermula pada minggu hadapan,” jelasnya.

Tambahnya, pada masa ini juga beliau memohon kerjasama daripada pihak masjid dan surau di seluruh Sarawak agar mematuhi garis panduan pelaksanaan solat Jumaat itu nanti.

“Kita perlu memaklumkan bahawa kita masih lagi berperang melawan Covid-19 ini.

“Sebab itu pihak MIS atas nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengizinkan solat berdasarkan garis panduan yang amat ketat,” tegasnya.

Sementara itu Mufti Negeri Sarawak Datuk Kipli Yassin menjelaskan, orang awam yang bukan merupakan jawatakuasa masjid masih belum dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat seperti biasa.

“Ini bermaksud kita mengekalkan arahan dan pekeliling MIS sebelum ini seperti yang sedia kala.

“Keputusan mengehadkan jumlah jemaah adalah kerana penularan wabak Covid-19 masih dalam keadaan yang kurang stabil, ia masih berlaku di Sarawak malah seluruh dunia,” ujarnya.

Tujuan utama solat Jumaat ini dibenarkan kerana tidak mahu terlalu lama solat Jumaat tidak didirikan sehingga melebihi dua bulan.

“Kita semua merindui solat Jumaat dan untuk meninggikan syiar Islam, maka kita membenarkan jumlah terhad jemaah tersebut menunaikan solat Jumaat,” tegasnya.