KUCHING: Penduduk Sarawak yang layak namun belum lagi divaksin kini boleh datang secara ‘walk-in’ untuk mendapatkan vaksin di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri ini.
Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata tiada lagi janji temu diperlukan untuk rakyat negeri ini mendapatkan vaksin.
“Kami perlukan bantuan anda, sila datang ke mana-mana PPV di Sarawak untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu menegaskan tanpa vaksinasi, seseorang itu mungkin berhadapan kesukaran untuk bergerak atau keluar.
“Kebanyakan tempat berisiko tinggi seperti premis makanan, pasar basah, pusat beli-belah dan sebagainya hanya akan membenarkan individu yang sudah divaksin sahaja untuk masuk,” katanya.
Menurut Kui Hian, vaksinasi Covid-19 bagi setiap orang sangat penting kerana sejak mula diberikan di Sarawak, ia telah menyaksikan pengurangan dari segi kes kematian akibat Covid-19.
Beliau menambah ia termasuk kes jangkitan bagi kategori 5 (intubasi dan ventilasi), kategori 4 (memerlukan oksigen) dan kategori 3 (simptom dengan perubahan x-Ray).