Sarawak berjaya angkat wanita ke tahap lebih tinggi dalam kepimpinan negeri

KUCHING: Kepimpinan Sarawak selama ini telah berjaya meletakkan asas yang kukuh dalam memperkasa kaum wanita, sehingga mereka kini berupaya untuk berada di tahap yang lebih tinggi dalam kepimpinan negeri berbanding sebelum ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam memberikan penghargaan kepada Tun Abdul Taib Mahmud berkata, Yang Dipertua Negeri Sarawak itu semasa menerajui kerajaan sebagai Ketua Menteri telah menampilkan dasar-dasar yang memberikan fokus kepada pembangunan sosio-ekonomi kaum wanita.

“Kita dapat lihat wanita Sarawak kini dapat diasuh bakat mereka, dalam usaha mereka untuk meningkatkan kedudukan sosio ekonomi mereka dalam pembangunan negeri.

“Oleh itu saya ucap berbanyak terima kasih atas dasar-dasar yang telah menjadi landasan untuk kerajaan negeri pada hari ini untuk teruskan usaha dalam meningkatkan peranan wanita secara menyeluruh dalam penbangunan negeri Sarawak. Terima kasih Tun,” katanya semasa berucap di majlis sambutan Hari Wanita Sarawak 2019 di sini.

Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa kerajaan negeri Sarawak akan terus memberikan sokongan sewajarnya kepada kaum wanita bagi memastikan peranan mereka bukan sahaja dihargai, tetapi malah status sosio-ekonomi mereka terus ditingkatkan lagi.

Turut hadir di majlis hari ini ialah Abdul Taib dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Menteri Kebajikan Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah serta lain-lain menteri kabinet negeri.

Abang Johari seterusnya bersetuju meluluskan permohonan Fatimah untuk mendapatkan peruntukan RM1juta lagi, bagi tujuan menwujudkan TASKA di beberapa agensi kerajaan.

Acara tahunan hari ini diadakan dalam usaha kerajaan negeri mengiktiraf peranan kaum wanita, dengan pemberian pelbagai anugerah.

Antara penerima anugerah tahun ini ialah Wong Siong Tiong yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia di Sarawak selama 31 tahun (Anugerah Khas ‘In Good Hands’) ; Datin Amar Fatimah Jamil yang aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (Anugerah Ketua Menteri Penggiat Sosial Wanita) dan Nur Rahamah Ranong Abdullah @ Ranong Peru, dari etnik Lun Bawang yang mencapai kejayaan dalam bidang e-commerce (Anugerah Ketua Menteri Usahawan Wanita).

Turut menerima anugerah Paliani Samba Bilaidom @ Lucy Lingam, wanita dari kaum India pertama yang dilantik sebagai Kapitan (Anugerah Ketua Menteri Kepimpinan Wanita)  dan Pertubuhan Kanak-kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT) yang menerima ‘Anugerah Pertubuhan Cemerlang’.

Terdahulu Abang Johari melancarkan aplikasi ePreneur,  satu hab bari usahawan wanita Sarawak untuk menjual produk dan perkhidmatan mereka.