Sarawak berjaya tanam 3.15 juta pokok

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya menanam 3.15 juta poko dan menduduki tangga teratas negeri di Malaysia bagi carta penanaman pokok. Pengarahnya Hamden Mohammad berkata, pihaknya telah menerima peruntukan khas RM4 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan Kempen Penghijauan Malaysia pada tahun ini.

“Selain itu, kita juga telah mendapat peruntukan daripada Kerajaan Negeri tahun ini dan seterusnya dalam RMK-12,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini Jumaat.

Tambah Hamden, turut menyokong usaha pihaknya ialah Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menyumbang dana sebanyak RM300,000 untuk program restorasi di Batang Ai.

“Bagi menjayakan program itu juga, JHS telah membangunkan tapak semaian pokok hutan di Sabal, Niah, Sibu dan Lawas bagi menampung keperluan anak benih pokok hutan penanaman semula di seluruh negeri ini.

“Malah, kami turut memanfaatkan teknologi bagi mengenal pasti kawasan terosot yang perlu direstorasi, sebagai contoh penggunaan teknologi hiperspektral untuk mengenal pasti kawasan bersesuaian untuk ditanam semula,” jelasnya.

Katanya lagi, JHS telah berbincang untuk bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan pelbagai penyelidikan dan kajian dalam bidang perhutanan termasuk cara mengaplikasi teknologi drone seedling bagi mempercepatkan proses penanaman di seluruh kawasan hutan terosot di Sarawak.

“Sejak insiden tsunami yang melanda seluruh dunia pada 2004, satu projek khas restorasi hutan bakau telah dilaksanakan.

“Sejak lebih sedekad lalu, kami berjaya menanam seluas 418 hektar kawasan pesisir pantai dengan pelbagai spesies seperti bakau dan pokok ru yang berperanan sebagai perlindungan kawasan di pesisiran pantai,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, dianggarkan 696,137 pokok bakau telah ditanam melalui projek itu. Kawasan hutan bakau yang telah direstorasi seperti Selabat Mud Flat NR, Kuching dan Bulatan Tun Ahmad Zaidi NR, Sibu yang telah berjaya diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA). Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut hadir.

Suara Sarawak