SRI AMAN: Penganjuran 1st Sarawak Bike Gathering (1st SBG) 2019 membantu mempromosi Sri Aman sebagai Bandar Benak sekaligus mempertingkatkan ekopelancongan setempat dan memperkenal produk penduduk di sini.
Pengerusi Borneo Island Big Bikers (BIBB) Ramlee Tuah memberitahu, 1st SBG berperanan sebagai platform untuk penunggang motorsikal berkongsi pendapat dan minat selain inisiatif mempromosikan Sri Aman sebagai Bandar Benak.
“Bahagian ini menjadi lokasi yang ideal bagi program permotoran kerana ia memiliki produk pelancongan seperti muzium warisan (Kubu Alice), benak, Pulau Seduku dan Rumah Sri Aman (lokasi penjanjian damai Kerajaan Sarawak dan pengganas komunis 1973).
“Justeru dengan adanya usaha seperti ini, kita secara tidak langsung dapat membantu kerajaan untuk mempertingkat ekopelancongan di Sri Aman dan memperkenal produk tempatan milik penduduk di sini,” katanya semasa majlis perasmian 1st SBG yang berlangsung di tebingan Batang Lupar dekat sini, semalam.
Jelasnya, 1st SBG anjuran BIBB dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri (MTACYS) Bahagian Sri Aman, Pusat Khidmat Wakil Rakyat N28 Lingga dan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman bertujuan mempromosikan Bahagian Sri Aman sebagai salah satu tarikan pelancong untuk sukan bermotorsikal bagi kepulauan Borneo.
“Selain itu membantu menyumbang pertumbuhan ekonomi penduduk dan menarik penyertaan dan menyatupadukan penggemar sukan bermotorsikal di seluruh kepulauan Borneo untuk berkampung di Sri Aman.
“Alhamdulillah objektif kita berjaya apabila menerima lebih 500 penyertaan daripada lebih 35 kelab yang hadir,” ujarnya.
Program sulung pihaknya di Sri Aman mungkin menimbulkan sedikit kesesakan lalu lintas serta bunyi bising, tetapi secara tidak langsung dapat mewujudkan keceriaan di bandar ini.
Ramlee dalam pada itu menyatakan kawasan taman di tebingan Batang Lupar mula menjadi tumpuan ratusan penduduk lewat petang Jumaat lepas bagi menyaksikan pelbagai acara menarik yang disusun atur.
Antaranya gerai jualan beraneka, pertandingan bike show, persembahan busking, live band, kebudayaan serta konvoi ke Pulau Seduku.
Pelepasan konvoi ke Pulau Seduku disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri.
Rombongan konvoi disambut meriah oleh penduduk Kampung Pulau Seduku.
“Sambutan amat baik dan terima kasih kepada semua penduduk kerana memberi layanan istimewa.
“Kami disajikan dengan persembahan buaya godek secara langsung di sungai Batang Lupar.
“Selain itu, persembahan nopeng dan bergendang serta dihidangkan dengan sajian popular mi udang Pulau Seduku dengan harga yang sangat berpatutan,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun menyatakan BIBB sehingga kini masih belum memutuskan lokasi seterusnya bagi penganjuran SBG kali kedua pada tahun hadapan.