
BINTULU: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mengambil semula kawalan Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan persekutuan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan pelabuhan keseluruhan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, satu perbincangan diadakan dengan Putrajaya mengenai perkara itu bagi membolehkan Pelabuhan Bintulu ditadbir dan dibangunkan sebagai pelabuhan negeri mengikut strategi yang dirangka.
Beliau menegaskan pelaksanaan strategi pembangunan bagi semua pelabuhan di Sarawak mesti merangkumi Pelabuhan Bintulu yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa negeri, sebagai pelabuhan negeri.
“Ini akan membolehkan kerajaan Sarawak mempunyai pelan induk untuk pembangunan semua pelabuhan di Sarawak dan memastikan setiap pelabuhan memainkan peranan khasnya sendiri dalam menggalakkan perdagangan dan perniagaan.
“Ia sekali gus meningkatkan kesalinghubungan penghantaran dengan hab pengangkutan dan logistik global utama yang lain,”ujarnya semasa berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-10 Pelabuhan Perindustrian Samalaju (SIPSB), di sini, malam tadi.
Oleh itu beliau menegaskan bahawa Pelabuhan Bintulu perlu menjadi sebahagian daripada kelompok pelabuhan negeri, di bawah Lembaga Pelabuhan Pusat yang akan diperbadankan oleh undang-undang negeri.
Katanya, Lembaga Pelabuhan Pusat yang baharu ini akan memperkemas dan menyelaras pengurusan, operasi, perancangan dan pembangunan semua pelabuhan yang terdapat di negeri ini.
“Tarif Pelabuhan Bintulu tidak disemak semula atau dinaikkan sejak tahun 1993, dan lebih rendah daripada pelabuhan negeri, sekali gus mengalihkan lalu lintas dari pelabuhan negeri kita.
“Ini bertentangan dengan cadangan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan) bahawa tidak perlu ada diskriminasi pelabuhan dan bayaran di antara pelabuhan-pelabuhan di Sarawak yang akan mempunyai kesan mengalihkan trafik perdagangan dan maritim dari mana-mana pelabuhan,” katanya lagi.
