Sarawak buka pendaftaran vaksinasi Covid-19

KUCHING: Kerajaan Sarawak sekarang menerima pendaftaran untuk vaksinasi Covid-19, Pfizer- BioNTech menerusi Pejabat Daerah dan klinik kesihatan.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata rakyat Sarawak juga boleh mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

“Agensi-agensi negeri sedang menerima proses pendaftaran ketika ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata Kerajaan Sarawak mensasarkan dapat menghubungi setiap rakyat yang layak, dan yang tidak menggunakan MySejahtera.

“Ketua Kampung dan Tuai Rumah sedang bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan klinik dalam proses ini,” katanya.