KUCHING: Jumlah kes harian Covid-19 di Sarawak hari ini mencatatkan penurunan dengan 496 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 243,615.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sebanyak 188 kes adalah daripada kategori 1; 296 kes kategori 2 dan 12 kes melibatkan kategori 3,4 dan 5.
“Daerah Kuching mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 156 kes, diikuti daerah Miri (98); Sibu (54); Serian (28); Bintulu (25); Betong (15); Lawas (12) dan Julau (11).
“Manakala Pusa, Samarahan, dan Subis (10); Simunjan dan Bau (9); Kanowit (7); Sri Aman (6); Limbang (4); Sarikei, Saratok, Meradong Lundu, Song, Bukit Mabong, Selangau dan Beluru (3) manakala Kapit, Mukah dan Marudi (2); Pakan dan Tebedu (1)” kata JPBN dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah JPBN, sebanyak 16 kes kematian direkodkan bagi tempoh 13 Oktober hingga 4 November lalu.
Sementara itu, tiada kluster baharu yang dikesan hari ini manakala tiga kluster diisytihar tamat iaitu Kluster Tanah Mawang, Serian, Kluster Jalan Usaha Jaya Dua, Kuching dan Kluster Sepangah, Limbang.
Dalam perkembangan yang sama, JPBN turut melaporkan dua lokaliti telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Rh. Anchong, Lubok Lajong Meluan bermula 5 November hingga 11 November ini dan Rh. Empaling Ak Lanyau, Sg Kunang Ulu Sarikei Bayong bermula 6 November sehingga 12 November ini.
“Manakala bagi lokaliti yang ditamatkan PKDP, ia melibatkan Rh. Suing, Teberu Ulu Kemalih Entabai dan Rh. Jen, Sg Paku Bayong” katanya.