KUCHING: Perdagangan Sarawak terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dan mengekalkan trajektori peningkatan pada 2022 dengan berkembang 51 peratus kepada RM166.15 bilion berbanding tahun 2021.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof berkata, ia mengalami peningkatan yang luar biasa berbanding tahun 2021 yang hanya mencatatkan RM109.89 bilion.
“Bagi eksport Sarawak, ia meningkat sebanyak 53 peratus tahun lalu kepada RM131.76 bilion berbanding tahun 2021 RM109.89 bilion manakala import mencatatkan rekod sebanyak RM34.29 bilion pada tahun 2022.
“Ini bermaksud eksport adalah satu komponen yang penting dalam membangunkan ekonomi tempatan dan Sarawak tidak ketinggalan menyumbang kepada eksport Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam program Penandaarasan MTC-MSME (rantaian bekalan global dan kemampanan) anjuran MATRADE, di sini, hari ini.
Manakala bagi perdagangan Malaysia, katanya ia juga terus mencatat prestasi yang memberangsangkan tahun lalu dengan berkembang 28 peratus kepada RM2.85 trilion berbanding 2021.
Beliau berkata, Malaysia tahun sebelumnya hanya mencatatkan nilai bilion dan tahun lalu ia telah mencapai jumlah perdagangan yang digabungkan (eksport dan import) melepasi RM2 trilion.
Sehubungan itu, Abu Bakar menyeru ahli perniagaan kecil dan sederhana berusaha lebih keras untuk mengekalkan nilai perdagangan dan eksport.
“Matrade tidak boleh melakukannya tanpa sokongan daripada anda semua, para pengeksport…Tetapi bagi mereka yang masih belum mengeksport, inilah masanya untuk anda menerokai pasaran antarabangsa.
“Jadi kami berharap perusahaan mikro, kecil dan sederhana terus mencari jalan untuk meningkatkan serta mengembangkan eksport anda ke peringkat global,” ujarnya lagi.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Matrade Muhd Shahrulmiza Zakaria dan Pengarah Program MTCDP merangkap konsultan dari Deloitte, Samrat Bose.