Sarawak catat sifar kes positif Covid-19 hari ini

KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Justeru, beliau menyeru masyarakat umum dan sektor ekonomi supaya terus berkorban mengekang penularan virus ini dengan mengamalkan norma baharu seperti penjarakan sosial, tidak berkumpul dan bergerak keluar.

“Sarawak merekodkan tiada kes positif bagi lima hari berturut-turut, jadi inilah cabaran kita bagi menentukan trend ini berterusan dan berusaha bersungguh-sungguh agar gelombang kedua Covid-19 seperti yang berlaku di beberapa negara tidak berlaku di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Uggah merangkap Pengerusi JPBN Sarawak turut menafikan ketiadaan kes positif adalah disebabkan oleh tiada ujian dilakukan ke atas orang yang disyaki (PUI).

“Di Sarawak, kita telah membuat 33,459 saringan tetapi ada tuduhan kita dapat kosong kes kerana tidak membuat ujian, ini adalah pembohongan,” katanya sambil menambah hari ini, seramai 19 PUI baru dilaporkan dan seramai 19 kes masih menunggu keputusan makmal.

Sementara, beliau berkata Sarawak turut merekodkan empat kes baharu telah sembuh dan discaj dari hospital iaitu tiga kes dari Hospital Umum Sarawak dan satu kes dari Hospital Sibu.

“Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 435 kes atau 79.96 peratus,” katanya sambil menambah jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak kekal sebanyak 544.