ARTIKEL

Datuk Sri Fatimah Abdullah merakam kenangan bersama-sama delegasi Rangkaian Integrasi Wanita Persatuan Rakyat (PAWIN) Singapura selepas menerima kunjungan hormat di Kuching, hari ini.

Sarawak dan Singapura teroka kerjasama pemerkasaan wanita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak dan Singapura berpotensi memperluas kerjasama dalam usaha memperkasa wanita menerusi perkongsian pengetahuan, pertukaran kepimpinan, program pembinaan kapasiti serta kerjasama komuniti.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, kerjasama itu diyakini mampu memperkukuh pembangunan komuniti selain melahirkan lebih banyak peluang kepada golongan wanita.

“Saya percaya terdapat potensi besar untuk kerjasama masa depan antara organisasi kita, sama ada melalui perkongsian pengetahuan, pertukaran kepimpinan, program pembinaan kapasiti atau kerjasama komuniti.

“Terdapat banyak perkara yang boleh kita capai bersama dalam usaha merealisasikan matlamat yang dikongsi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat delegasi Rangkaian Integrasi Wanita Persatuan Rakyat (PAWIN) Singapura di sini, hari ini.

Tambahnya, Sarawak sentiasa bersedia mempelajari amalan terbaik daripada Singapura, khususnya dalam aspek tadbir urus, pembangunan komuniti dan pemerkasaan wanita termasuk menyesuaikannya mengikut keperluan serta konteks negeri ini.

“Singapura merupakan sebuah republik yang sangat maju dan terdapat banyak perkara yang boleh kita jadikan penanda aras dari segi kualiti.

“Pada masa sama, setiap inisiatif pembangunan di Sarawak sentiasa menitikberatkan keterangkuman dengan memastikan penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum.

“Pendekatan itu amat penting memandangkan kita merupakan sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik dan perpaduan perlu sentiasa dipupuk agar terus kekal utuh,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Singapura turut membuka peluang kepada usahawan wanita tempatan memasarkan produk mereka ke pasaran republik tersebut.

“Kami berharap rakyat Singapura akan berkunjung ke STATOS dan membeli produk keluaran usahawan Sarawak.

“Inilah kelebihan apabila kita menjadi jiran. Kita boleh saling belajar daripada pengalaman masing-masing dan bersama memperkasakan komuniti untuk menghadapi cabaran masa depan sambil mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berharap hubungan baik antara Sarawak dengan Singapura akan terus diperkukuh menerusi kerjasama yang lebih erat serta perbincangan bermakna yang mampu membuka laluan kepada lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan.

BERITA LAIN

Wajib bayar HUTANG, jangan tangguh

Hutang merupakan perkara yang lazim dalam kehidupan manusia. Ada yang berhutang untuk memenuhi keperluan keluarga, membeli rumah, mendapatkan kenderaan atau menjalankan perniagaan. Islam tidak melarang

BERITA TERBARU