KUCHING: Pengurusan buaya di Sarawak akan dimantapkan lagi dengan mendapat bantuan dan kerjasama daripada pakar-pakar buaya, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata pakar-pakar buaya terbabit adalah dari Australia, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat serta Kumpulan Pakar Buaya dari Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).
Pada masa sama, katanya Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) juga akan meneruskan usaha menguruskan kelestarian populasi buaya liar.
“SFC telah menyediakan Pelan Pengurusan Buaya Sarawak Fasa Pertama (2016-2020) dan diteruskan berdasarkan tiga objektif utama iaitu meneruskan usaha konservasi buaya liar, memperkasakan keharmonian antara manusia dan buaya bagi memastikan keselamatan penduduk setempat dan melaksanakan kajian yang terperinci tentang manfaat buaya secara lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Awang Tengah merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua menambah tindakan-tindakan yang telah dan akan diambil adalah seperti kolaborasi dengan pengusaha ladang-ladang buaya dan menambah bilangan santuari buaya di seluruh Sarawak untuk tujuan konservasi dan eko-pelancongan.
Selain itu, katanya dengan menambah bilangan Zon Pembuangan Buaya untuk memastikan keselamatan penduduk setempat dan mengeluarkan permit menuai dan memburu bagi tujuan penuaian dan penakaian.
Manakala mengenai keselamatan dan kesihatan Orang Utan di pusat hidupan liar, beliau berkata di Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Matang, penjagaan dan keselamatan terhadap Orang Utan serta para penjaganya amat dititikberatkan memandangkan Orang Utan mempunyai 97 peratus persamaan DNA dengan manusia.
Justeru untuk memastikan tahap kesihatan optimum Orang Utan serta para penjaganya, Awang Tengah berkata SFC bekerjasama dengan UNIMAS dalam menjalankan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesihatan Orang Utan di pusat hidupan liar terjamin.
“Menariknya, Orang Utan di Semenggoh berpeluang untuk menikmati waktu senggang tanpa tekanan apabila tiada pelawat dibenarkan semasa penularan COVID-19.
“Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Orang Utan tersebut dan bukanlah satu kejutan apabila hadirnya tiga ekor anak Orang Utan pada tahun ini,” katanya.
