‘Sarawak dekat di hati saya’

KUCHING: Lady Roberta Simpson cucu kepada Rajah Vyner Brooke berjaya menunaikan impiannya untuk melawat Sarawak buat pertama kalinya.

Menurut Lady Roberta, peluang bercuti di Sarawak merupakan pengalaman sangat berharga.

“Melawat Kuching, Sarawak dan berjumpa orang tempatan di sini merupakan perkara yang paling indah pernah berlaku dalam hidup saya.

“Walaupun ini merupakan kali pertama saya datang ke sini, namun setiap penduduk tempatan melayan saya dengan penuh mesra seolah-olah telah lama kenal.

“Kasih sayang dan perhatian penduduk tempatan terhadap saya merupakan pengalaman yang paling berharga.

“Saya akui, orang Sarawak sangat peramah dan baik hati,” katanya pada sidang bersama media di ‘Old Court House’ Kuching.

Tambah Lady Roberta, pada mulanya beliau terkejut apabila melihat jadual saudaranya, Jason Brooke untuk aktiviti mereka sepanjang di Kuching.

“Pada mulanya, saya rasa jadual tersebut sangat padat dan mustahil untuk melakukan semua aktiviti tersebut.

“Namun, saya tidak sangka bahawa saya mampu melakukan semua aktiviti yang disediakan oleh Jason dengan berasa sangat gembira dan teruja,” jelasnya.

Lady Roberta berkata, layanan penduduk tempatan terhadapnya sungguh istimewa.

“Mereka (penduduk tempatan) melayan saya dengan penuh kasih sayang dan saya amat menghargai setiap perhatian yang dicurahkan.
“Sekarang saya sudah mampu memahami faktor datuk dan nenek moyang saya sering bercerita mengenai Sarawak.

“Datuk dan nenek moyang menyatakan bahawa mereka menyayangi Sarawak kerana mereka menyayangi penduduknya yang baik hati.

Lady Roberta Simpson merupakan anak kepada Elizabeth, iaitu cucu kepada Rajah Vyner dan Ranee Sylvia Brooke.

Antara kejayaan yang dicapai oleh Lady Roberta adalah menghasilkan dan menerbitkan tiga buah buku setelah berusia 82 tahun.

Saudara kepada Lady Roberta, Jason Brooke berkata, bahawa mereka telah melawat beberapa tempat menarik di Kuching, Sarawak.

“Antara kawasan yang telah dilawati adalah Astana, Kampung Budaya di Santubung, Taman Negara Bako dan banyak lagi.

“Kami berpeluang untuk menyaksikan pelbagai kehidupan liar seperti buaya dan orang hutan semasa berada di Taman Negara Bako.

“Bercuti di Sarawak merupakan pengalaman yang sangat berharga kerana bukan sekadar berpeluang untuk mengenali penduduk di sini, malah budaya yang unik juga dapat disaksikan,” jelasnya.

Setelah bercuti di Kuching, Lady Roberta akan melawat ke Sibu sebelum balik ke kampung halaman.

Suara Sarawak