KUCHING: Syarikat berpangkalan di Australia berminat untuk melabur dalam pembuatan logam hijau di Sarawak atas keyakinan terhadap potensi serta pencapaian yang diraih negeri ini.
Menurut kenyataan media Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan semalam, hasrat tersebut telah disampaikan wakil syarikat berkenaan kepada Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa mesyuarat yang diadakan di sini, kelmarin.
“Sarawak telah menjadi destinasi pelaburan popular kerana banyak kelebihan termasuk ketersediaan tenaga hidrogen hijau yang akan dimanfaatkan oleh pelabur selain mengurangkan pelepasan karbon,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Awang Tengah turut mengalualukan minat syarikat terbabit untuk melabur di Sarawak dan kementeriannya akan mempercepatkan proses itu.
Hadir sama wakil Wilayah Lembaga Pembangunan Koridor (Recoda), Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy), Laku Management Sdn Bhd, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).