KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meminda undang-undang tanah negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pindaan tersebut akan memantapkan hak Sarawak dalam pelbagai sudut.
“Ketika ini saya belum lagi dapat mengumumkan. Pada dasarnya pihak kabinet telah bersetuju untuk dibawa ke DUN.
“Biarlah kita tengok apabila DUN bersidang nanti,” katanya ketika ditemui media semasa majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19 dijadualkan bersidang pada 17 sehingga 26 Mei ini.
Sementara, Abang Johari yakin kegiatan ekonomi di negeri ini akan berkembang dan pulih dengan cepat.
Malah katanya, rakyat Sarawak juga menyatakan kegembiraan mereka terhadap pelaksanaan Kerajaan Sarawak dalam tempoh pemulihan ketika ini.
“Saya yakin ekonomi akan berkembang dan kegiatan ekonomi berjalan lancar.
“Kita ada beberapa projek tergendala disebabkan oleh Covid-19 dan yakin pemulihan akan berlaku dengan cepat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengunjung yang berbilang kaum, agama dan budaya yang berkunjung ke rumah terbukanya.
Abang Johari berkata kagum dengan sambutan tersebut kerana ia membayangkan kepada pemulaan untuk kehidupan normal.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai agar menjaga keselamatan dan kesihatan agar dapat meneruskan kehidupan.

