BANGKOK: Sarawak dijangka menarik pelaburan mencecah AS$1 bilion atau kira-kira RM4.07 bilion menerusi pembangunan industri hiliran berasaskan gas sekali gus memperkukuh usaha negeri ini memaksimumkan nilai sumber asli dan memacu pembangunan ekonomi rendah karbon.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan berskala besar itu melibatkan Indorama bersama sebuah syarikat dari Jepun yang merancang membangunkan produk hiliran berasaskan sumber gas di Sarawak.

Katanya, pelaburan berkenaan bukan sahaja dapat mengoptimumkan penggunaan sumber gas Sarawak, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menyokong agenda pembangunan industri rendah karbon, khususnya di Bintulu.
“Pelaburan ini dijangka menjangkau AS$1 bilion dan sudah tentu akan menjadi satu usaha untuk kita menggunakan gas kita.
“Ini mewujudkan pekerjaan yang tinggi dan juga membantu kita melaksanakan program industri rendah karbon khususnya di kawasan Bintulu,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri Gastech 2026 di Bangkok, hari ini.
Dalam pada itu, tambahnya, susulan perbincangan berkenaan, Indorama dan Sarawak Petchem akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menyusuli serta memperincikan usaha pembangunan tersebut.
Menurutnya, satu lagi pertemuan berkaitan perkara itu dijangka berlangsung pada Oktober ini sempena sebuah persidangan di Bangkok yang turut akan disertai delegasi Sarawak dan diketuai Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, penyertaan Sarawak pada Gastech 2026 turut membuka ruang untuk mengetengahkan peranan negeri itu dalam pembangunan Asian Power Grid, selain membincangkan hala tuju sektor tenaga dalam mendepani perubahan iklim dan peralihan global ke arah ekonomi rendah karbon.
Jelasnya lagi, Sarawak terus meneroka peluang kerjasama tenaga dengan negara-negara Asia bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan kekal relevan dengan perubahan landskap tenaga dunia.
“Pendekatan Sarawak itu mendapat sambutan positif daripada peserta antarabangsa termasuk dari Afrika dan Thailand.
“Ini akan menjadi hala tuju untuk kita membangunkan tenaga Asia dan menyesuaikan hala tuju ekonomi Sarawak bersama-sama rakan kita di Asia,” ujarnya.
Penyertaan Sarawak pada Gastech 2026 sekali gus membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh kedudukan negeri dalam rantaian tenaga serantau khususnya menerusi pembangunan industri hiliran, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
Hadir sama Hazland dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Petchem, Datuk Mohammad Ibrahim.




