Sarawak Energy berjaya kenal pasti lokasi kegiatan curi elektrik

MIRI : Baru-baru ini empat lokasi telah dikenal pasti melakukan kegiatan mencuri elektrik setelah pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) cawangan Miri turun padang menyiasat, hasil laporan dan maklumat orang awam.

Lokasi yang dimaksudkan ialah bengkel mesin berat di estet perindustrian di sepanjang Miri Bypass, sebuah pasar raya mini di Jalan Miri-Bintulu dan dua buah rumah persendirian dua tingkat di Taman Orchid dan Eco Park 2 di sini.

Menurut satu kenyataan kes tersebut dikenal pasti serupa dengan kes yang berlaku pada bulan Mac yang lalu, di mana penutup meter palsu digunakan suspek bagi tujuan menyembunyikan gangguan komponen elektronik meter.

Melalui itu tindakan demikian menyebabkan ketepatan bacaan meter terjejas dan kesannya suspek hanya perlu membayar jumlah bil elektrik yang rendah walaupun penggunaan meter adalah tinggi.

Menurut jurucakap SEB, penutup meter palsu yang terdapat di beberapa premis berkenaan adalah sama dengan kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SESCO di Jalan Acacia, Miri pada Ogos tahun lepas, di mana sindiket tersebut telah berjaya ditumpaskan.

Penutup meter palsu yang digunakan oleh suspek untuk mencuri elektrik

“Keselamatan adalah menjadi keutamaan SEB dan mencuri elektrik adalah satu jenayah berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian.

“Perkara ini boleh menyebabkan kerosakan kepada peralatan elektrik yang mengundang kebakaran, pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati apabila didekati oleh individu yang mendakwa mereka menawarkan perkhidmatan merendahkan meter yang menjanjikan mereka bil-bil utiliti yang lebih murah,” katanya.

Kesemua penutup meter palsu yang dirampas dalam operasi berkenaan akan dihantar ke Unit Pemeriksa Elektrik Kementerian Utiliti dan Peguam Negara (SAG) untuk tindakan selanjutnya.

Jenayah mencuri elektrik boleh dikenakan tindakan undang-undang dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Orang ramai jika mempunyai maklumat berkenaan dengan kecurian elektrik boleh terus melaporkan kepada Sarawak Energy melalui hotline 082-443535.

Semua maklumat akan disimpan dan dirahsiakan.

Salah satu premis kedai yang dikenalpasti melakukan kecurian elektrik

 

Satu bengkel mesin berat di estet perindustrian di sepanjang Miri Bypass dikenalpasti mencuri elektrik.