Dianugerahkan Nation Branding Award 2018-2019
KUCHING: Komitmen Sarawak Energy untuk mendapat pengiktirafan menjadi antara jenama cemerlang akhirnya berbaloi apabila dianugerahkan Nation Branding Award 2018-2019 dalam Anugerah BrandLaureate.
Majlis anugerah berprestij yang berlangsung di Kuala Lumpur, malam kelmarin itu telah mengiktiraf jenama syarikat pembangunan utama pembekal tenaga Sarawak.
Selain itu, mengiktiraf kehadiran dan kepimpinan dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui, kemampanan dan budaya jenama positif Sarawak Energy.
Penerima Anugerah Penjenamaan Jenama Brand Laureate Tahun 2018-2019 diperhatikan kerana kepimpinan jenama mereka dan pengaruh trend industri dan standard dengan inisiatif inovatif yang dihasilkan oleh syarikat berkenaan.
Anugerah tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sharbini Suhaili bagi pihak Sarawak Energy.
Mengulas mengenai pencapaian itu, Sharbini berkata, Sarawak Energy memberi khidmat kepada hampir 3 juta penduduk dan berhasrat untuk mencapai sepenuhnya atau 100 peratus elektrifikasi seluruh Sarawak menjelang 2025.
“Ciri-ciri jenama kami adalah profesional, bersih dan rendah hati. Sarawak Energy akan terus menerapkannya dalam misi kami untuk menyediakan tenaga yang boleh dipercayai, boleh diperbaharui dan berpatutan kepada rakyat Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.
Sharbini menambah, Sarawak Energy juga mempertimbangkan untuk berkongsi tenaga boleh diperbaharui dengan beberapa negara jiran.
“Perkongsian tenaga ini dilakukan menerusi sambungan Grid Borneo, sejajar dengan wawasan Sarawak Energy untuk menjadi kuasa besar serantau.
“Ini bermakna memperkukuhkan kedudukan jenama kami sebagai pemaju tenaga utama di rantau ini,” tegasnya.
Sejajar itu, kata Sharbini, dalam rancangan pertumbuhan syarikat akan datang, Sarawak Energy berhasrat untuk menjadi jenama yang dikagumi, dipercayai serta dikenali dalam masyarakat.
Sarawak Energy sebelum ini, pernah menerima ‘The Brand Laureate Most Sustainable Brand Award 2015-2016.’ Anugerah ini dianjurkan dan diberikan oleh The World Brands Foundation.