ARTIKEL

Sarawak Energy rai warga kerja cemerlang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: ini meraikan pencapaian cemerlang Sarawak Energy baru-baru Sarawak Energy pekerjanya menerusi Anugerah Perkhidmatan Kesetiaan dan Majlis Makan Malam Persaraan 2023.

Majlis yang diraikan di Kuching, Miri dan Sibu pada Februari lepas itu diadakan sebagai tanda penghargaan atas dedikasi, kesetiaan dan usaha gigih para kakitangan Sarawak Energy.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sharbini Suhaili berkata komitmen kolektif para pekerja Sarawak Energy yang sudah lama berkhidmat memainkan peranan penting dalam menggerakkan Kumpulan itu sehingga mencapai kedudukannya, menjadi antara syarikat utiliti terkemuka dan pemaju tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia.

“Sarawak Energy mencapai peringkat baharu dalam pembangunannya, dengan secara aktif mengembangkan kehadirannya pada peringkat antarabangsa serta usaha untuk menjalin kerjasama baharu.

“Dengan fokus kepada usaha menjalin perkongsian serta kesalinghubungan di rantau Asia Tenggara, Kumpulan ini ingin meletakkan Sarawak sebagai ‘Bateri ASEAN’.

“Kita juga sedang maju ke hadapan, menjadi pemimpin kelestarian di pentas dunia, memacu perbincangan antarabangsa yang berkisar tenaga boleh diperbaharui dan kemampanan di persidangan besar seperti COP28 dan Kongres Kuasa Hidro Dunia pada tahun lepas,” katanya.

Sharbini berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis anugerah yang diadakan di sini, pada 5 Februari lalu.

Menurutnya lagi, semua pencapaian itu tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha seluruh pasukan Sarawak Energy.

Selain itu katanya, kemahiran, kebolehan dan ketangkasan yang dipamerkan oleh para pekerja Sarawak Energy, bukan sahaja menyokong pertumbuhannya tetapi juga menyampaikan manfaat penting kepada Sarawak dan rakyat.

Beliau turut menyeru para pekerja yang sudah lama berkhidmat di syarikat itu supaya terus berkongsi ilmu pengetahuan dan kejayaan mereka dengan rakan-rakan lain.

Sementara, Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat, Siti Aisah Adenan dalam ucapan alu-aluannya turut menekankan komitmen Sarawak Energy terhadap kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEI) yang penting untuk kejayaannya.

Sebagai juara eksekutif Rangkaian Wanita Peneraju Tenaga Sarawak (SELWN), beliau turut menekankan kepentingan nilai DEI dalam memupuk budaya tempat kerja yang inklusif.

“Kepelbagaian tidak seharusnya terhad kepada jantina sahaja. Ia adalah sama penting untuk mempunyai kepelbagaian kemahiran, latar belakang, budaya dan perspektif.

“Setiap daripada kita membawa satu pakej unik kebolehan dan pengetahuan kepada Sarawak Energy membolehkan Kumpulan ini menjadi tangkas dan responsif ketika berdepan cabaran.

“Anda semua adalah penting untuk memupuk budaya ketangkasan dalam syarikat dan dalam berkongsi pandangan serta pengalaman anda, menjadikan Sarawak Energy mengekalkan operasinya dan berkembang maju ketika di tengahtengah kesukaran,” katanya.

Siri Anugerah Perkhidmatan Kesetiaan dan Majlis Makan Malam Persaraan 2023 adalah untuk meraikan dedikasi dan sumbangan daripada 689 kakitangan Sarawak Energy di seluruh Kuching, Miri dan Sibu.

Sarawak Energy turut mengekalkan komitmennya terhadap pembangunan bakat dan promosi budaya berprestasi tinggi, mengukuhkan visi syarikat untuk menjadikan Kumpulan itu yang hebat sebagai tempat kerja.

Usahanya baru-baru ini turut diiktiraf apabila Sarawak Energy memperoleh pengiktirafan buat kali keempat, sebagai salah satu ‘Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia’ pada Majlis Makan Malam dan Anugerah Gala HR Asia di Kuala Lumpur pada 7 Disember 2023.

Penghargaan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak Energy sebagai majikan profesional terbesar bakat Sarawak serta sebagai majikan terkemuka di rantau ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU