Sarawak Energy sedia bekal 90MW tenaga ke MLNG

KUCHING: Majlis menandatangani ‘Term-Sheet’ antara Syarikat Sesco Berhad (Sesco) dan Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) menjadi mercu tanda dalam hubungan dua hala Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pemeteraian ini membolehkan Sarawak terus berkongsi sumber tenaga boleh diperbaharui dengan penjana tenaga lain dalam membangunkan masa depan tenaga yang mampan.

“Komitmen untuk menyediakan bekalan kuasa 90MW ke kompleks LNG Malaysia di Tanjung Kidurong selama 20 tahun menunjukkan keyakinan bukan hanya kemampuan Sarawak Energy untuk menyediakan kuasa tetapi juga membuktikan keyakinan Petronas terhadap kehadiran jangka panjang mereka di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis menandatangani Lembaran Jangka Masa antara Syarikat Sesco Berhad dan Malaysia Lng Sdn. Bhd, di Pejabat Ketua Menteri, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Jelas beliau, pemeteraian perjanjian penyelesaian komersial (CSA) 7 Disember tahun lalu antara Petronas dan Sarawak juga harus menjadi petunjuk antara kedua-dua pihak dalam pembangunan aktiviti huluan dan hiliran sumber minyak dan gas di negeri ini.

Suara Sarawak