ARTIKEL

Awang Tengah bersama-sama tetamu kehormat yang lain melakukan simbolik pelancaran Program Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini. | Gambar: Ghazali Bujang

Sarawak fokus perkukuh rantaian bekalan tempatan, kekalkan nilai pelaburan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mahu memastikan lebih banyak nilai ekonomi yang terhasil daripada pelaburan diluluskan bernilai RM116 bilion antara 2021 hingga 2025 kekal dan berakar di negeri ini.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaburan berkenaan merentasi sektor primer, pembuatan dan perkhidmatan, dengan 61 peratus daripadanya merupakan pelaburan domestik.

Menurutnya, momentum ini terus berkembang, dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM11.2 bilion direkodkan dalam separuh pertama 2026.

Awang Tengah bersama-sama tetamu kehormat yang lain ketika melawat reruai pameran sempena Program Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini. | Gambar: Ghazali Bujang

“Namun, menarik pelaburan hanyalah sebahagian daripada persamaan.

Persoalan seterusnya yang sama penting, berapakah nilai ekonomi yang dijana daripada pelaburan ini dapat dikekalkan dan berakar di Sarawak?

“Kita mahu pelaburan menjana peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan pengetahuan, perusahaan tempatan lebih kukuh serta akses pasaran yang lebih luas.

“Ini selaras dengan aspirasi kita di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 untuk membina Sarawak yang berperindustrian, pelbagai, dipacu teknologi, mampan dan mempunyai hubungan global,” katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran Program Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menurut Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, transformasi ekonomi di Sarawak sedang mewujudkan peluang dalam sektor pembuatan termaju dan semikonduktor, tenaga hijau, sektor hiliran minyak dan gas serta petrokimia, logam hijau, hidrogen dan teknologi bersih, ekonomi digital, kecerdasan buatan, aeroangkasa, kejuruteraan ketepatan, pertanian dan pembuatan makanan.

Beliau berkata di lokasi-lokasi perindustrian strategik di Kuching, Bintulu dan Miri, pelaburan besar sedang mewujudkan peluang kepada industri sokongan dan perusahaan tempatan.

“Kita mesti menghubungkan pelaburan ini dengan lebih berkesan kepada perniagaan Sarawak dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan, logistik, teknologi, perkhidmatan profesional, pembuatan, penyelesaian digital dan perkhidmatan khusus yang lain.

“Objektif kita bukan sekadar meningkatkan jumlah pembekal tempatan.

Kita mahu syarikat-syarikat kita bergerak secara berperingkat ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai daripada membekalkan barangan dan perkhidmatan asas kepada pembuatan khusus, kejuruteraan, teknologi, reka bentuk serta aktiviti bernilai lebih tinggi yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Awang Tengah menggesa perusahaan Sarawak supaya meningkatkan keupayaan bagi memenuhi keperluan industri dan pasaran antarabangsa yang semakin kompetitif.

Katanya, penyertaan dalam rantaian bekalan global memerlukan kualiti, kebolehpercayaan, daya saing, inovasi serta pematuhan ke atas piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau turut menegaskan agar syarikat tempatan perlu melabur dalam teknologi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, produktiviti dan transformasi digital selain memahami piawaian yang diperlukan oleh pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, Awang Tengah turut menyeru syarikat multinasional dan pelabur yang mengembangkan operasi di Sarawak supaya membina hubungan lebih kukuh dengan ekonomi tempatan.

Pada masa yang sama, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan terus menyediakan persekitaran yang membolehkan pelaburan dalam infrastruktur, taman perindustrian, utiliti, kesalinghubungan dan keupayaan digital.

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah