KUCHING: Sarawak bakal muncul sebagai hab hidrogen hijau serantau menjelang 2027.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, perkara demikian dapat dicapai melalui pelaksanaan tiga projek bersepadu termasuk kilang pengeluaran hidrogen hijau di Kuching untuk kegunaan domestik.
“Dua (lagi) kilang pengeluaran hidrogen di Bintulu untuk kegiatan ekspor yang akan melibatkan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Tenaga hidrogen merupakan komponen tenaga boleh baharu yang kini diteroka Malaysia menerusi pembangunan Sarawak Hydrogen Hub yang diumumkan melalui Pelan Peralihan Tenaga (NETR).
Rafizi memberi jaminan Kerajaan Persekutuan menyokong penuh usaha Kerajaan Sarawak melalui SEDC Energy Sdn Bhd yang bekerjasama dengan rakan strategik untuk merealisasikan matlamat menjadi peneraju hidrogen hijau serantau.