Sarawak hanya jaga Sarawak

KUCHING: Sarawak hanya jaga Sarawak, tegas Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) ketika diminta mengulas mengenai isu politik yang berlaku di Sabah dan Semenanjung.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, Sarawak tidak perlu ikut campur dengan isu politik yang berlaku di luar negeri Sarawak.

Mengulas isu berhubung pembubaran Dun Sabah jelas Fadillah, apa-apa yang berlaku di Sabah tiada kaitan dengan Sarawak.

“Paling penting, Sarawak boleh menjaga Sarawak sendiri.

“Jangan terlibat dengan apa-apa yang berlaku di Sabah atau Semenanjung. Kita di Sarawak perlu bersatu hati dan saling menjaga antara satu sama lain,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ibadah Korban Aidiladha Pemuda N8 Satok 2.0 di Jalan Abang Ateh, Satok di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok, Datuk Ibrahim Baki.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Kanan PBB menasihati rakyat terus bersatu dalam menjaga negeri ini.

“Apabila kita bersatu, kita akan dapat membantu pembangunan negeri seperti yang diharapkan Kerajaan GPS untuk mencapai status negeri paling maju di Malaysia menjelang 2030.

“Sudah tentu ada beberapa pihak berusaha menubuhkan parti baharu, tetapi kita perlu belajar daripada beberapa perkara yang berlaku di Semenanjung dan Sabah,” jelasnya.

Mengenai wakil rakyat PBB yang secara terbuka mengakui tidak mahu dicalonkan dalam PRN yang akan datang Fadillah menjelaskan, ia merupakan tradisi yang dipupuk dalam PBB.

“Ada yang tidak mahu dicalonkan semula kerana memahami bahawa waktunya telah tiba dan ingin memberi jalan kepada pemimpin baharu yang lebih muda,” tegasnya.

Pada 8 Julai lalu, Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz mengumumkan undur diri daripada arena politik.

Suara Sarawak