Sarawak kaji cadangan untuk memiliki kepentingan dalam Petronas

KUCHING: Sarawak perlu mengkaji cadangan untuk memiliki kepentingan Petronas secara mendalam, demikian tegas Pejabat Ketua Menteri yang dikeluarkan sebentar tadi.

Cadangan terbabit diberitahu oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam pertemuan pada Isnin lalu di ibu negara.

Pertemuan selama 90 minit itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membincangkan isu-isu berkaitan hak-hak Sarawak dan Sabah dalam sumber gas dan minyak di kedua-dua negeri ini.

Bagaimanapun, Sarawak berpendirian untuk mengkaji cadangan itu secara mendalam.

Malah, Ketua Menteri memberitahu Perdana Menteri yang Sarawak menguatkan penyertaan Petros dalam aktiviti huluan dan hiliran industri minyak dan gas di Sarawak di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Sarawak.