ARTIKEL

Dr Ammar Redza Ahmad Rizal

Sarawak Kehilangan Seorang Permata Terutama Di Pentas Politik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pemergian bekas Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah satu kehilangan besar yang juga merupakan titik akhir kepada satu bab utama di dalam sejarah Sarawak, kata penganalisis politik Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.

Menyuarakan pendapat dari sudut pandang politik, beliau menyifatkan Sarawak kehilangan seorang permata terutama di pentas politik, dengan Almarhum ketika era perdananya memperlihatkan seni politik yang halus dan cekap.

“Ketika mula menjadi Ketua Menteri Sarawak, beliau telah mempunyai pengalaman kepimpinan awam di peringkat persekutuan dan mempunyai hubungan baik bersama Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Justeru walaupun almarhum berhadapan tentangan terhadap legitimasi kepimpinannya seperti peristiwa “Ming Court”, tetapi beliau berjaya melepasi fasa tersebut,” katanya yang dihubungi.

Ammar menambah, Almarhum Taib juga telah menunjukkan kemampuan dalam memimpin negeri sebesar Sarawak, yang bukan satu perkara mudah apatah lagi dalam keadaan dunia memasuki fasa kemodenan dan kehendak ekonomi meningkat, dengan Sarawak adalah lubuk ekonomi kerana kekayaan sumber alam.

Menjelas lanjut, beliau berkata pada waktu itu, infrastruktur asas termasuk jalan raya, sekolah dan fasiliti kesihatan masih lagi terhad.

“Kerana itu, kita dapat lihat sewaktu Rancangan Malaysia Ke-4 hingga ke-7 iaitu sewaktu era perdana Tun Taib, kemudahan dan jaringan asas menghubungkan bandar utama dengan pekan-pekan kecil sedang membangun,” katanya.

Ammar juga berkata, yang lebih utama adalah Almarhum Taib berjaya memastikan kestabilan di dalam komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak ketika itu, walaupun sewaktu eranya, beliau berhadapan dengan konflik antara masyarakat Dayak di Sarawak.

Katanya ia termasuk perpecahan yang berlaku di dalam Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Walaupun mungkin wujud pelbagai perspektif tetapi dari sudut pandang politiknya, Taib berjaya mengelakkan konflik lebih besar yang berkemungkinan membawa kejatuhan kepada BN Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Ammar turut mengucapkan belasungkawa dan salam takziah buat keluarga Almarhum dan seluruh warga Sarawak.

BERITA LAIN

Mangsa tanah runtuh terima bantuan

REPOK: Mangsa-mangsa tanah runtuh di Rumah Jupong dan Rumah Augustine di sini menerima bantuan dan sumbangan khas daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,

Zii Jia sertai skuad negara ke Piala Thomas 2024

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai penyertaan pemain profesional negara, Lee Zii Jia, dalam skuad Piala Thomas 2024 terjawab hari ini apabila namanya diumumkan dalam barisan pemain

BERITA TERBARU