Sarawak kekalkan SOP untuk aktiviti keagamaan

KUCHING: Sarawak masih patuh dengan SOP penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau ketika tempoh PKP dilaksanakan.

Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching Awang Salmi Awang Sabudin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat terkini mengenai resolusi berhubung dengan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kini, kita perlu terus patuh dengan SOP sedia ada kerana semua aktivti keagamaan termasuk solat Jumaat, terawih dan solat sunat Hari Raya di masjid serta surau tidak dibenarkan. “Perkara-perkara berhubung dengan SOP yang akan dilaksanakan ketika PKPB akan diputuskan oleh pihak kementerian nanti,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Masjid Darul Falah, Kampung Tabuan Haji Drahman di Jalan Foochow di sini kelmarin.

Tambahnya, mereka juga kini sedang menunggu pengumuman daripada pihak kementerian khususnya daripada Jabatan Perdana Menteri mengenai perkara tersebut. “Bagaimanapun, kami juga sentiasa menasihati masyarakat supaya mematuhi arahan dan SOP yang sedia ada,” tegasnya.

Untuk rekod, pada 8 Mei lalu resolusi berkaitan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh PKPB yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) akan dibawa ke Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia sebagai pandangan dan nasihat untuk dipertimbang serta diputuskan pihak berkuasa agama negeri.

Menurutnya, urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa negeri di bawah naungan raja-raja dan selari dengan Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.