Sarawak kembali catat rekod tertinggi, 508 kes positif baharu, satu kematian

KUCHING: Sarawak merekodkan kes tertinggi Covid-19 dalam negara hari ini dengan 508 kes dan satu kes kematian.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 23,940 kes manakala kes kematian meningkat kepada 137 kes.

JPBN berkata Daerah Bintulu melaporkan sebanyak 118 kes diikuti Sibu (107), Miri (67), Kuching (44), Selangau (33), Kanowit (25), Sarikei (18), Subis (17), Kapit (13), Sebauh (11), Belaga (7), Serian (6), Mukah (6), Meradong (6), Song (4), Pakan (3), Kabong (3), Beluru (3), Marudi (2), Sri Aman (2), Julau (2), Samarahan (2), Tatau (2), Bukit Mabong (2), Matu (1), Pusa (1), Asajaya (1), Betong (1)
dan Limbang (1).

“Daripada 508 kes baharu yang dilaporkan, seramai 65 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

“Manakala, seramai 390 orang yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan perintah kuarantin,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, JPBN berkata, kes kematian ke-137 melibatkan kes ke-9,509 iaitu seorang lelaki warga Sarawak berumur 58 tahun telah dirujuk terus ke Hospital Sibu apabila ujian
saringan bergejala di sebuah klinik kesihatan dengan menggunakan ujian rapid-test kit antigen adalah positif Covid-19.

Jelas jawatankuasa tersebut, kes mengalami gejala batuk beberapa hari yang lepas dan ujian saringan rT-PCR Covid-19 adalah positif pada 27 Februari.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 16 April.

“Kes mempunyai ko-morbid seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, dislipidemia, penyakit jantung, penyakit buah pinggang kronik dan gout,” kata JPBN.

Suara Sarawak