Sarawak kuatkuasa aktiviti dibenarkan di bawah PKPP mulai 17 Jun

KUCHING: Semua aktiviti yang dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan berkuat kuasa di Sarawak mulai 17 Jun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini untuk membolehkan kementerian dan agensi terbabit memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada dan hendaklah dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) selewat-lewatnya pada atau sebelum 15 Jun untuk kelulusan.

“Perkara dibenarkan ialah rentas negeri, pasar pagi / malam, melancong dalam negara, Raya Haji dan Korban, sekolah dibuka secara berperingkat, dobi layan diri, kolam memancing, berbasikal / konvoi, aktiviti sukan yang tidak bersentuhan badan seperti bowling dan badminton.

“Selain itu waktu operasi perniagaan seperti biasa mengikut SOP masing-masing serta mesyuarat dan bengkel,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Manakala, Uggah merangkap pengerusi JPBN Sarawak berkata perkara yang tidak dibenarkan ialah pub / kelab malam, pusat hiburan / refleksologi / karaoke, taman tema, perarakan keagamaan, kenduri-kendara, rumah terbuka, sukan bersentuhan, sukan renang, ragbi, bola sepak, hoki dan lain-lain, melancong ke luar negara, sempadan negara masih ditutup serta perhimpunan orang ramai melebihi 100 orang.