KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melaksanakan 93 projek menerusi Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) yang keseluruhan bernilai RM3 bilion.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, melalui inisiatif Kerajaan Sarawak menubuhkan agensi pembangunan wilayah seperti URDA dan HDA ini, ia diyakini dapat mempercepatkan kemajuan selaras pendekatan dari bawah ke atas, yang mana keperluan masyarakat diutamakan.
“Justeru di bawah URDA, RM1.5 bilion peruntukan Kerajaan Sarawak digunakan untuk melaksanakan 43 projek membabitkan 27 projek jalan dan jambatan, 11 projek bekalan air, tiga kajian pelan induk dan dua projek bangunan.
“Sehingga kini, enam projek siap, 33 dalam pembinaan dan baki empat dijangka dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.
“Begitu juga Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) yang menerima jumlah peruntukan sama, menggunakannya untuk membangunkan 50 projek infrastruktur merangkumi 29 projek jalan dan jambatan, 19 projek bekalan air dan dua projek bekalan elektrik,” katanya.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya di sini, hari ini.
Sehingga kini jelasnya, lapan projek HDA telah siap, sementara 40 dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan baki dua lagi dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini.