Sarawak langkah kiri

SKUAD Sarawak memulakan kempen Piala Cabaran 2019 dengan ‘langkah kiri’ setelah tewas 3-1 di tangan pilihan juara, JDT II dalam aksi di Pasir Gudang malam kelmarin.

Pemangku jurulatih Sarawak, Mohamad Denny Da’ail menjelaskan kealpaan benteng pertahanan menghukum mereka.

“JDT II banyak melakukan hantaran silang ke kawasan petak penalti kita.

“Pemain kita gagal menyekat mereka, dan beberapa kesilapan membawa padah,” jelas Denny kepada Suara Sarawak.

Sarawak mendahului seawal minit keenam menerusi Nor Azizi Ramlee.

Namun JDT II menyamakan kedudukan pada minit ke-26 melalui Nicolas Fernandez.

JDT II menjaringkan gol kedua dalam masa kecederaan babak pertama menerusi
pemain dari Sabah, Rozaimi Abdul Rahman.

Dan mereka menyumbat gol ketiga pada minit ke-58 melalui bintang import asing, Mohammad Gaddar.

Bagaimanapun, Denny berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain, terutama barisan tempatan.

“Piala Cabaran ini merupakan pentas terbaik untuk menilai keupayaan pemain bagi menghadapi musim depan… dan menyediakan pasukan untuk aksi play-off nanti,” katanya.

Sarawak akan menentang Kelantan di Kuching pada 20 Ogos nanti.

Suara Sarawak