Sarawak larang import produk, daging khinzir dari Sabah

KUCHING: Sarawak mengenakan larangan mengimport produk dan daging khinzir dengan serta merta dari Sabah berikutan lapan daripada 13 sampel dari Pitas, Sabah diuji positif African Swine Fever (ASF).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata larangan tersebut adalah di bawah Seksyen 8 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar Sarawak 1999.

“Sesiapa yang tidak mematuhi arahan larangan import ini atau mengimport mana-mana haiwan atau produk haiwan tanpa permit (Seksyen 9) melakukan kesalahan dan boleh didenda sehingga RM50,000 dan/ atau boleh dipenjara sehingga dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Uggah yang juga Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Sarawak adalah bebas daripada wabak tersebut.

Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk tidak membeli dan membawa masuk daging dan produk khinzir dari Sabah atau mana-mana negara jiran.

Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) juga akan memperketatkan pengawasan bio-keselamatan di negeri ini terutamanya di Bahagian Limbang dan mempertingkatkan pemantauan wabak tersebut di seluruh Sarawak.

Beliau memberitahu, JPVS telah menjalankan beberapa sesi libat urus dan kesedaran mengenai ASF bersama pihak berkepentingan seperti petani, pengimport, Malaysia Airport Holdings Berhad termasuk agensi kerajaan iaitu Kastam, Imigresen, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Pihak Berkuasa Tempatan di Sarawak.

Katanya, JPVS juga akan mempertingkatkan kempen kesedaran dan langkah kawalan bagi memastikan virus tersebut tidak memasuki negeri ini.

Tambah Uggah, Sarawak mempunyai sejumlah 30,000 ekor khinzir betina yang menghasilkan 455,000 ekor khinzir setahun dengan nilai RM455 juta.

“Adalah tanggungjawab JPVS untuk memastikan negeri ini terus bebas daripada penyakit haiwan seperti ini.

“JPVS akan terus menguatkuasa Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 bagi memastikan daging dan produk khinzir yang diimport adalah dari negara yang bebas ASF,” katanya.