Sarawak mahu jadikan kredit karbon sumber pendapatan baharu

KUCHING: Sarawak akan menggunakan kelebihannya memiliki kawasan hutan yang luas untuk meneroka bidang perdagangan kredit karbon dalam mempelbagaikan asas perolehannya, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata melihat kepada kekayaan hutan di Sarawak yang nampaknya terlepas pandang dan menjadikan ia sebagai aset yang tidak dinilai, kerajaan kini perlu melebarkan asas perolehan dari hutan itu, kepada spektrum yang lebih luas, selain royalti dan cukai yang dikutip dari operasi pembalakan.

“Ada banyak potensi dalam perhutanan dari perspektif yang lebih luas dan ia tidak memerlukan penebangan pokok,” katanya semasa berucap di majlis makan malam ulang tahun ke-100 Jabatan Hutan Sarawak di sini, semalam.

Malah menurut Abang Johari kerajaan negeri baru-baru ini menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Shell International berhubung projek kredit karbon sebagai sumber baharu perolehan dari hutan Sarawak.

“Rakan kongsi yang baharu juga perlu dicari untuk memanfaatkan sumber perolehan baharu ini dan membiayai program-program Pemulihan Landskap Hutan,” katanya.– BERNAMA

Suara Sarawak